Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu menyifatkan kenyataan bahawa kerajaan negeri kini dalam proses pelaksanaan hukum hudud hanyalah mainan politik.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata jika benar kerajaan negeri BN serius dalam melaksanakan hukum berkenaan mana mungkin rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat ditangguhkan beberapa kali.

“Saya berani katakan ini adalah mainan politik (kerajaan BN). RUU 355 dibentang dan ditangguh tiga, empat kali.

“Kalau menteri besar serius kenapa RUU 355 sehingga hari ini yang bukan hudud pun tertangguh begitu lama,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat HARAPAN Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Sementara Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman semalam yang didakwa berkata pentadbiran kerajaan negeri kini dalam proses pelaksanaan hukum hudud.

Kata Ahmad Razif, kerajaan negeri tidak ada masalah untuk melaksanakan sistem perundangan Islam berkenaan.

Bagaimanapun, Razif hari ini menafikan kenyataan itu.

Mengulas lanjut perkara itu Raja Bahrin mempersoalkan mengapa isu hudud ini kembali dibangkitkan pada ambang pilihan raya.

“Kenapa RUU tertangguh? Sekarang ini kalau nak buat sesuatu buatlah benda yang lebih mudah dilaksanakan kemudian barulah pergi ke peringkat yang lebih serius dan mencabar.

“Tak perlu kita bermain politik. Agama ini adalah satu perkara yang perlu ditangani dengan keikhlasan dan janganlah bermusim,” katanya.

Pada sidang media sama, Raja Bahrin turut membangkitkan tindakan pihak lawan yang didakwa mensabotaj poster dan bendera HARAPAN khususnya di kerusi yang ditandinginya di Kuala Terengganu.

“Saya melahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang telah merosakkan serta mensabotaj poster kempen milik saya di sekitar parlimen Kuala Terengganu.

“Yang paling ketara poster dan banner saya dirosakkan adalah di kawasan DUN Batu Buruk tempat saya bertanding di mana poster dan banner saya itu dibuang,” kata penyandang kerusi berkenaan.

Raja Bahrin mendakwa ia adalah perbuatan pihak tertentu yang semakin bimbang dengan sokongan yang diterima HARAPAN di Terengganu.