Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 | Tuan Sabariah Ishak, ibu kepada calon HARAPAN DUN Cempaka itu mengakui wujud persamaan antara anak beliau Nik Omar dan almarhum suaminya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti yang dipaparkan dalam novel cinta berjudul Bidadari Dari Timur, karangan Annual Bakri Haron.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Anbakri mengesahkan novel berkenaan dikarangnya berdasarkan kisah benar. Beliau mengakui mewawancara Nik Aziz dan isterinya untuk kajian novel tersebut.

Manakala itu, Annual Bakri atau nama penanya Anbakri bercakap dalam video youtube berjudul 'The return of "Nik Aziz"' hari ini, berkata, Datin Tuan Sabariah menyebutkan kata-kata itu di dalam novelet karangan beliau di halaman ke-47.

"Kita dapat melihat bagaimana Nik Omar disebut dalam satu novel bersifat novelet hari ini.

"Dalam kandungan itulah kita lihat adanya sokongan apabila sampai satu bahagian yang menyentuh mengenai disiplin, soal anak yang kalau mampu saya sebutkan di sini," katanya merujuk babak di mana arwah Nik Abdul Aziz bercakap soal perkahwinan salah seorang anaknya.

Dalam video berkenaan, Anbakri menyebutkan ayat-ayat pengakuan Datin Tuan Sabariah sebagai berikut.

"Di ruang dapur inilah tempat suamiku menelaah... Inilah perpustakaan kecil keluarga kami... Terus diletakkan kitab itu di tempat asalnya.

"Begitulah telitinya dan disiplinnya Tok Guru. Tidak pernah disepahkan-sepahkan kitab bacaannya di segenap ruang. Bukan itu sahaja, pakaiannya yang disarungnya akan dilipatnya sendiri.

"Sifat positif ini dapat kulihat mengalir dalam personaliti anak-anak kami terutamanya Nik Omar," kata Anbakri ketika merujuk perenggan berkaitan calon PKR bagi Dun Chempaka itu.

Pengakuan Datin Tuan Sabariah mengenai Nik Omar dan Nik Abdul Aziz boleh dicapai pada minit ke-3:44 di dalam video berdurasi selama 7 minit 20 saat itu.

"Kenapa mesti Nik Omar yang disebut dalam buku ini? Jadi, Nik Omar itu seorang yang mempunyai karektor yang sangat teliti, cermat, berdisiplin orangnya, menyamai personaliti Tok Guru, ayahandanya sendiri.

"Itu pengesahan yang telah dibuat oleh Datin Tuan Sabariah. Dalam novel ini, muka surat 47," kata Anbakri lagi.

Tambah pengarang novel ini, antara alasan beliau membuat pendedahan ini adalah disebabkan di luar sana, masih ramai orang yang berbicara mengenai persamaan perwatakan antara Nik Omar dan Nik Abdul Aziz.

"Jadi, seramai-ramai anak yang saya lihat, maka Nik Omar yang mempunyai kehampiran itu. Nilai persamaan yang sangat hampir," katanya lagi.

Novelet itu ditulis Anbakri berdasarkan kisah benar percintaan bekas MB Kelantan bersama isterinya.

Ketika menceritakan proses awal dalam mengarang novelet ini, Anbakri berkata, beliau sendiri tidak pasti sama ada projek ini akan disambut baik oleh bekas MB Kelantan itu.

"Saya letakkan kewajaran kenapa kita perlu ada buku (novelet Bidadari Dari Timur) ini. Tok Guru kata, boleh juga... molek juga. Saya faham perangai tok guru ini. Kalau dia tolak, dia tolak terus. Kalau dia setuju, dia akan bertanya lagi," katanya.

Tambah beliau, setelah mendapat lampu hijau untuk memulakan penulisan novelet percintaan itu, beliau terus menghubungi Datin Bentara Setia Tuan Sabariah.

"(Saya kata) datin, saya dah dapat kebenaran tok guru (untuk menulis buku). Datin kata eloklah jika begitu. Saya (pun) secara langsung mengetuai temuramah itu," tambah Anbakri lagi.
 

Lihat Komen
ADS