Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajian: Jaguh BN, termasuk Hisham, Liow, Subra bakal tumbang
Diterbitkan:  May 7, 2018 6:32 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

PRU14 | Selain menjangkakan kemenangan tipis untuk Pakatan Harapan (HARAPAN), Invoke Malaysia juga mendakwa beberapa jaguh politik BN akan tumpas pada pilihan raya umum Rabu ini.

Menurut kaji selidik itu, pengasas Invoke Rafizi Ramli berkata antara pemimpin Umno Johor yang akan tumbang, termasuklah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin, yang juga sepupu kepada perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak, akan mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong.

Invoke juga membuat andaian bahawa menteri besar sementara Johor, Datuk Seri Khaled Nordin (Pasir Gudang) dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad (Johor Bahru) juga akan tewas.

Bagi pimpinan BN, Invoke menjangkakan MCA akan menyaksikan kedua-dua pemimpin nombor satu dan nombor duanya kalah, iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai (Bentong) dan Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam).

'PAS dapat sifar kerusi Parlimen'

Invoke juga meramalkan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam gagal mempertahankan kerusi Parlimen Segamat.

Invoke menjangkakan PAS tidak akan menang sebarang kerusi, bermakna Invoke meramalkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan kalah kerusi Parlimen Marang.

Invoke turut meramalkan Husam Musa bakal menang pertandingan tiga penjuru di Kota Bahru dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan akan dikalahkan.

Hasil kaji selidik Invoke berdasarkan pemodelan kecenderungan pilihan pengundi terbaru dan hasil tinjauan bagi Semenanjung Malaysia.

Model itu meramalkan perbezaan tahap sokongan Melayu antara BN dan HARAPAN tidak lebih daripada 13.1 peratus.

Sokongan Melayu untuk HARAPAN bervariasi antara 28.1 peratus hingga 47.3 peratus, berdasarkan negeri-negeri berbeza, yang pada umumnya lebih baik daripada perkiraan sokonngan 30 peratus yang diterima oleh Pakatan Rakyat pada 2013.

Dengan anggapan bahawa bukan Melayu tidak akan mengundi BN, Invoke meramalkan HARAPAN akan memenangi 111 kerusi di Semenanjung Malaysia.

Dengan menggunakan Sembrong sebagai contoh, Rafizi menjelaskan kerusi itu mempunyai 61 peratus pengundi Melayu dan Hishammuddin mengekalkan kerusi pada 2013 dengan memenangi 85 peratus undi Melayu.

Kali ini, Rafizi berkata Invoke meramalkan HARAPAN bakal mendapat kira-kira 41 peratus sokongan Melayu di Johor dan kajian terperinci Invoke mengenai Sembrong menganggarkan hanya 55 peratus orang Melayu menyokong BN.

"Maksudnya perbezaan undi antara BN dan HARAPAN sangat kecil," kata Rafizi yang meramalkan Hishamuddin kalah tipis.

Lihat Komen
ADS