Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat khianat dan fitnah kes bahan kempen

PRU14 | Sebanyak 15 laporan polis berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) melibatkan pelbagai kesalahan di sekitar Kuantan, dibuat sejak tempoh kempen bermula pada 28 April sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusuf Ali berkata daripada jumlah itu, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan.

"Kes pertama melibatkan kesalahan khianat dan membawa bencana bahan kempen mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Manakala kes kedua yang dibuka kertas siasatan melibatkan dakwaan melakukan fitnah menggunakan media sosial di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor juga berkata pihaknya telah mengeluarkan 241 permit berkempen dan menjangkakan jumlah itu akan meningkat esok, yang merupakan hari terakhir untuk parti politik yang bertanding berkempen.

Anggota tambahan berkawal

Beliau berkata, IPD Kuantan menerima 60 anggota polis tambahan untuk membantu mengawal suasana sepanjang tempoh berkempen bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

"Kami berharap pihak yang bertanding untuk mematuhi peraturan dan undang-undang semasa berkempen bagi mengekalkan keharmonian.

Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Mohamad Noor juga mengingatkan parti politik untuk menamatkan aktiviti berkempen tepat pada pukul 12 tengah malam esok, seperti mana yang ditetapkan undang-undang.


- Bernama
 

Lihat Komen
ADS