JMM lapor polis kenyataan Haniff Khatri
PRU14 | Pertubuhan bukan kerajaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan berunsur fitnah dan hasutan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla menerusi ceramah politik di Kluang, Johor pada malam Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias ketika dihubungi Bernama mengesahkan laporan polis yang dibuat JMM itu hari ini.
"Ada laporan dibuat, masih semak dan belum buat klasifikasi kes lagi," katanya.
Sebelum itu, Presiden JMM Datuk Azwanddin Hamzah berkata ucapan berunsur fitnah oleh peguam itu dilaporkan dalam sebuah portal media tempatan semalam.
Azwanddin berkata pihaknya juga akan menghantar laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara esok berhubung perkara berkenaan untuk tindakan.
- Bernama

