Rangkuman ke-10: Kebimbangan Dr M, bos Air Asia dan bekas hakim
RANGKUMAN | Debaran hari penentuan bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini semakin terasa kepada pengundi dan parti-parti yang bertanding.
Hari ini Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohammad mengakui terdapat kebimbangan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak akan membenarkan proses peralihan kuasa berjalan lancar jika gabungan itu memenangi PRU14.
Menurut mantan perdana menteri itu, Najib mungkin mengambil tindakan drastik dengan menguatkuasakan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (MKN), seperti yang didakwa peguamnya, Mohd Haniff Khatri Abdula di Johor minggu lepas.
Kenyataan Haniff itu juga mendorong NGO Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini membuat laporan polis kerana menyifatkan tuduhan itu berunsur fitnah dan hasutan terhadap Najib.

Sementara itu bos AirAsia Tan Sri Tony Fernandez pula secara terbuka menyokong kepimpinan Najib yang disifatkannya "mendahulukan rakyat".
Fernandez memuji dasar pentadbiran Najib membantu AirAsia berkembang selama 10 tahun yang lalu.
"AirAsia bermula dengan dua pesawat dan menjadi 230 pesawat hari ini. Daripada 200,000 penumpang, tahun ini kami akan membawa 89 juta penumpang.
"Dan saya percaya perdana menteri mendahulukan rakyat dan membenarkan AirAsia berkembang walaupun terdapat pelbagai bantahan," kata Tony.
Berbeza pula dengan bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang hari ini dalam tulisannya mendakwa Mahathir terlibat campur tangan dalam badan kehakiman, selain berkata mantan perdana menteri itu 'buang tabiat'.
Malah beliau turut memberikan 'nasihat' kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya membuang kipas kertas yang sering dibawanya, jika "mahu menjadi perdana menteri".
“Janganlah nampak seperti pelakon opera Cina yang lengkap dengan kipasnya. Entah apa yang hendak dikipas atau adakah beliau cuba menutup mukanya kerana malu?,” kata bekas hakim itu dalam satu tulisan di blog.

Hari ini juga menyaksikan sekutu rapat Mahathir, Tun Daim Zainuddin membidas bekas anggota Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Anina Saadudin yang mendesak beliau bersama Tan Sri Rafidah Aziz mengisytiharkan aset mereka.
Daim yang mempersoalkan siapa Anina berkata sebelum ini wanita itu sering memuji Mahathir tetapi kini bersikap sebaliknya.
Rafidah pula dalam jawapan balas terhadap Anina berkata asetnya diperoleh secara jujur.
Menurut Rafidah, Allahyarham suaminya, Tan Sri Mohamed Basir Ahmad ialah pengerusi Maybank selama 16 tahun dan bersara pada tahun 2009.
Beliau turut menjadikan penggantinya dan ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai sasaran, apabila meminya Anina menggesa 'wanita lembu' memulangkan semula wang rakyat.

Di Kelantan, nama Nik Omar Nik Abdul Aziz terus mendapat liputan media apabila diumum calon menteri besar di negeri itu oleh Pengerusi HARAPAN, Husam Musa.
Tidak lama selepas namanya diumumkan, Nik Omar menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mengundi HARAPAN pada 9 Mei ini.
Ketika bahang kempen semakin panas, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pula menasihatkan pengundi-pengundi supaya tidak mudah terpengaruh atau percaya dengan mesej palsu yang ditularkan di media sosial oleh pihak tertentu yang bertujuan mengelirukan mereka.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata penyebaran pelbagai mesej palsu berbentuk video, teks dan gambar di media sosial kini semakin rancak menjelang Rabu ini.
Amaran SPR selaras dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Raduan Che Rose yang menggesa orang ramai supaya berwaspada, tidak terpengaruh serta keliru dengan pelbagai penyelewengan psiko-sosial menerusi kempen secara maya menjelang saat-saat akhir PRU14.
"Kempen secara maya pada saat akhir dijangka lebih dahsyat dan terdedah kepada putar belit dan berita tidak benar kerana pada masa itu pihak tertentu terdesak untuk mendapatkan undi," katanya.

