Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU14: Selamatkan Tanah Melayu dari dijajah China

Saya ulangi lagi ayat yang saya tulis minggu lalu. Jelas. Semakin jelas pada pagi 10 Mei 2018 - Pakatan Harapan (PH) akan menubuhkan sebuah kerajaan baru menggantikan kerajaan Najib Rosmah dan kuncu-kuncu dalam Barisan Nasional.

Kecuali ditipu. Kecuali disabotaj.

Penipuan dan sabotaj telah berjalan berbulan bulan. Saya tidak perlu melakar pekara yang sama. Umum - anak semua bangsa - bangsa semua agama- telah tahu perkara penipuan ini.

Dari persempadan semula, peralihan pengundi, penambahan pengundi, undi awal, undi pos dan dan dan. Semua ini adalah jenis penipuan yang telah dijalankan secara resmi. Secara tersusun.

Justeru - abang, adik dan kakak - jangan lupa dengan Si Minah yang bernama Fatimah Ismail. Di mana agaknya 900 'ekor' Si Fatimah ini akan mengundi? Pelik lagi benar inilah hakikat piliharaya di Malaysia kita ini.

Siapa Fatimah ini dan hantu mana yang akan muncul sebagai Fatimah tidaklah saya dapat meramalkan. Saya hanya berani berkata ..walhulaam bisawab.

Walaupun ada Fatimah. Walaupun ada hantu muncul mengundi. Walaupun ada yang hilang nama. Walaupun ada yang gagal mengundi, yakinlah pada Rabu ini kemenangan masih jelas di dalam tangan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menafikan fakta ini adalah menafikan bahawa air laut itu masin. Menafikan fakta kekuatan sokongan rakyat terhadap HARAPAN sama saperti menafikan Saloma dan P.Ramlee ialah suami isteri.

PRU14 kali ini bukan tsunami China. Ini bukan "apa lagi China mau." Ini bukan apa lagi India mau. Ini bukan lagi Melayu takut berubah tanpa Ketuanan Melayu.

PRU14 adalah tsunami anak semua bangsa - bangsa semua agama. Tsunami ini berniat, bertekad dan berakidah untuk menghumbankan Najib Rosmah ke dalam tong sampah sejarah. Kecuali ditipu. Kecuali disabotaj. Kecuali. Kecuali. Kecuali.

Kecuali tipu, kecuali sabotaj

Lalu persoalan timbul. Kenapa dimunculkan kecuali ditipu. Kecuali disabotaj.

Kecuali ini muncul daripada pengalaman. Kecuali ini bukan muncul dengan tidak sengaja. Kecuali ini memiliki sejarah dan fakta. Kecuali ini bukan kecuali sawenang-wenang.

Belum pun Rabu sampai - ketika mengundi pos dijalankan - kita telah terbaca berita bagaimana seorang anggota polis yang tidak dapat mengundi. Ada ‘malaon’ lain yang lebih awal telah datang mengunakan nama Si Polan ini. Ini bukan berita palsu. Laporan polis berkenaan telah tersebar luas.

Ini satu 'kecuali' yang kita tahu. Berapa ratus ribu 'kecuali' yang lain yang kita tidak tahu. Malah pada Rabu ini 'kecuali' ini akan menjadi lumrah. Kecuali ini bukan satu yang ‘rare’ - satu yang ganjil. Satu yang di luar jangkaan.

Pada Rabu ini kecuali ini akan menjadi pendekatan yang akan digunakan oleh aparachik Najib untuk memastikan Pakatan Harapan  gagal ke Putrajaya.

Abang, adik kakak - ingat tidak dengan PRU13. Ingatkan kembali dakwat kekal kecuali dakwat itu tidak kekal. Berapa puluh ribu agaknya undi dua kali telah dijalankan kerana dakwat tidak kekal. Tidak ada siapa yang tahu. Kecuali HARAPAN berkuasa di Putrajaya.

Sayugia dingati kembali kisah lampu padam ketika undi dikira. Tetiba tak ada kuasa letrik. Tetiba peti baru sampai. Tetiba tetiba.. kecuali kita tahu apa makna lampu padam. Tetiba borang 14 hilang. Kecuali kita semua telah bersedia untuk menangani semua ini.

Hakikatnya dalam PRU13 - Pakatan Rakyat telah menang dengan mendapat 52 peratus undi popular, termasuk dari Sabah dan Sarawak. Kecuali ditipu. Maka Pakatan Rakyat telah dinafikan Putrajaya. Apakah episod ini akan berulang? Kecuali kita bersedia.

Saya telah mengikuti Jelajah HARAPAN. Jelajah adalah ceramah besar yang mana kesemua atau hampir semua empat pemimpin tertinggi HARAPAN akan hadir sama.

Jelajah ke Melaka di Alor Gajah, Perak di Taiping, Pulau Pinang di Padang Kota, Kedah di Gua Chempedak, N.Sembilan di Seremban, Perlis di Utan Aji, Johor di Pasir Gudang, Kelantan di Bachok, Terengganu di Dungun, Pahang di Kuantan dan jelajah HARAPAN ditutup kembali di Melaka.

Puluhan ribu warga yang datang. Puluhan ribu anak semua bangsa yang datang menjenguk mendengar. Saya yakin ramai di antara mereka - kerana terlalu ramai - tidak dapat mendengar buah butir yang diucapkan oleh pucuk pimpinan HARAPAN.

Tapi yang penting mereka hadir. Tubuh badan mereka sama berasak-asak di padang atau di jalan raya. Kehadiran rakyat biasa, kehadiran orang biasa ini tanda bersetia kawan dan menunjukkan sokongan mereka kepada HARAPAN.

Semua menyimpan niat pada petang Rabu ini sebuah kerajaan baru akan wujud. Pada hari Khamis dan Jumaat - seluruh negara telah diberi cuti. Ini kenyataan daripada Mahathir Mohamad - Pengerusi Pakatan Harapan dan juga Perdana Menteri baru Malaysia. Kecuali….

Kecuali penipuan muncul kerana selama 60 tahun ini kita tidak pernah ada pengalaman bertukar kerajaan. Selama 60 tahun ini kita hanya dikawal oleh United Malays National Organisation.

Parti Ketuanan Melayu ini adalah hegemoni - kuasa besar - yang selama 60 tahun ini telah berkuasa. Berkuasa dengan kuasa yang melebihi kuasa sehinggkan kita tidak tahu di mana kuasa gerombolan bermula dan di mana kuasa ini akan berakhir.

Segala bentuk kecuali telah dilakukan oleh gerombolan ketuanan Melayu ini. Segala bentuk kekuasaan telah dijalankan oleh gerombolan ketuanan Melayu ini dengan kerja sama kuncu-kuncunya.

Rompakan demi rompakan. Penjarahan demi penjarahan telah dijalankan. Segala bentuk kejahatan telah dilakukan. Semua dilakukan tanpa dakwa-dakwi. Semua dilakukan secara terbuka di hadapan mata 28 juta anak semua bangsa.

Kerana begitu lama berkuasa. Kerajaan tidak pernah ditukar ganti. Maka telah lahir satu budaya cuba menakut-nakutkan orang ramai hanya dengan menyatakan bahawa negara Malaysia tanpa gerombolan Ketuanan Melayu akan lingkup dan hancur.

Bani Melayu dikatakan tanpa parti Ketuanan Melayu akan hilang lenyap dari dunia ini. Kalau pun Hang Tuah dan Hang Jebat muncul sekali lagi - Bani Mleayu tidak akan dapat diselamatkan. Tanpa United Malays National Organisatioan maka Bani Melayu akan mati, kehilangan punca oksigen. Ini naratif rahai yang telah dijual, kecuali... Amin.

Parlimen dan Perlembagaan bukan lagi rujukan. Kuasa telah mengambil alih segala-galanya. Malah Najib dengan falsafah - Cash is King - Duit Itu Raja - telah dan sedang menyediakan Tanah Melayu ini untuk menjadi tanah jajahan China Merah. Kecuali….

Kecuali, pada Rabu ini anak semua bangsa bersedia, berwaspada untuk berjuang merebut kemenangan.

Projek Najib dengan China Merah akan digagalkan. Projek parti cukong MCA dengan China Merah akan digagalkan. Kecuali, kita tidak memahami betapa bahaya besar yang akan dibawa oleh China Merah. Kecuali, kita tidak sedar bahaya ini sedang berada di hadapan pintu rumah kita.

Mengambil alih kerajaan dari Najib bermakna HARAPAN berjaya menyelamatkan Tanah Melayu kita ini daripada jatuh ke tangan China Merah. Kemenangan Rabu ini bermakna Tanah Melayu dapat diselamatkan dari menjadi provinsi China Merah.

Menyelamatkan Tanah Melayu dari China Merah sebenarnya adalah inti pati PRU14. China Merah adalah latar belakang PRU14. China Merah sentiasa bersedia untuk menjamin dan mengdukong Najib dan MCA sebagai agen hartanah yang akan menggadaikan Tanah Melayu.

Pertempuran HARAPAN dengan Barisan Nasional sebenarnya adalah pertempuran untuk menyelamatkan Tanah Melayu dari menjadi tanah jajahan China Merah. Ini juga adalah isi ceramah kempen Jelajah daripada Pakatan Harapan.

China Merah disebut di sana-sini. Ada yang menyebut China Komunis. Tapi hakikatnya semua tahu negara makna yang dimaksudkan.

Peranan China Merah diterangkan. Malah ceramah jelajah HARAPAN membawa pencerahan tentang peranan China Merah. Tentang agenda China Merah terhadap Tanah Melayu.

Fakta ini ramai yang tidak sedar. Ramai yang tidak faham, kecuali…

Kecuali, kita membuka mata. Lihat kain rentang BN. Ada nama syarikat China Merah tertera sama. Ini memberi makna, memberi implikasi bahawa kain rentang ini ditaja oleh syarikat China Merah. Jika tidak menaja kenapa nama syarikat China Merah ini perlu atau wajib ada ditulis sama dalam kain rentang. Apa pentingnya syarikat China Merah ini?

Apakah syarikat China Merah ini tidak sensitif terhadap perasaan ahli parti ketuanan Melayu? Kecuali, semua ahli parti telah lok lak, telah mabuk syabu, telah mabuk ice hingga tidak lagi faham akan tanda-tanda ini. Wahahhu alam.

Lawan tetap lawan

Berani berjuang dan berani menang adalah akan menjadi laungan kosong. Sama seperti melaungkan - lawan tetap lawan - lawan sampai menang. Ianya juga akan menjadi laungan kosong kerana laungan ini tidak memiliki apa-apa cadangan. Kecuali…

Kecuali pada Rabu ini semua penyokong Pakatan Harapan telah bersedia. Mereka melaungkan 'berani berjuang berani menang'. Dan tahu bagaimana untuk menang.

Wajib kita semua bersedia untuk memerhatikan akan perangai, kelakuan dan lenggok Suruhanjaya Pilihan Raya. Pasti akan ada karenah-merenah baru yang akan dimunculkan.

Pasti ada peraturan baru, undang-undang baru yang dimunculkan pada saat akhir untuk menyusahkan dan untuk menghalang pengundi HARAPAN mengundi.

Kita perhatikan dengan badan tegak berdiri siap-siaga kecuali SPR membuat projek penipuan yang besar. Kita perhatian dengan dada terbuka kecuali…..Apa lagi yang SPR akan buat?

Ramai berani berjuang. Tapi gagal merampas kemenangan kecuali pada kali ini pemimpin Pakatan Harapan dengan jelas tahu arah mana lenggok Najib.

Ke mana lenggok Najib mengarah ke sana Pakatan Harapan akan sampai. Ke mana lengok Najib menjalar ke sana orang ramai akan menunggu. Sebanyak 28 juta mata sedang memerhatikan Najib kecuali...

Membaca tulisan saya ini adalah membaca sejarah yang sedang dilakar. Pada Rabu ini kita bukan lagi membaca sejara. Kita bersama membuat sejarah menubuhkan kerajaan baru. Kecuali ditipu. Kecuali disabotaj. Selamat mengundi. Selamat Datang Kerajaan Baru.

 


 

HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS