Pengundi T'ganu sukar buat keputusan, calon 'berwibawa belaka'
PRU14 | Momentum pilihan raya umum (PRU) ke-14 memasuki pusingan terakhir, namun masih ada pengundi yang ragu-ragu untuk membuat pilihan.
Bagaimanapun, pilihan harus dibuat esok bagi membolehkan calon yang dipertandingkan diberikan mandat untuk terus merealisasikan hasrat kerajaan dan rakyat.
Berikut tinjauan yang dibuat Malaysiakini di sekitar parlimen Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.
Nik Rosdi, 52, pemandu teksi yang ditemui di Dungun menyatakan kesukaran membuat keputusan itu adalah kerana menurutnya semua pemimpin parti-parti yang bertanding mempunyai kewibawaan masing-masing.
“Hat ni kalau orang Kedah kata sakit pala (kepala), sampai masa...tak tahulah.
“Sekarang ini semua (calon) yang ada berwibawa belaka, ketua-ketuanya pun sama. Hat BN Najib, hat PAS Haji Hadi, Pakatan Harapan (HARAPAN) pula Tun Mahathir, susah nak kata dan kalau kita kata nanti orang tak mahu ikut tapi kalau semua ini disatukan molek (baik) belakalah,” katanya.
Tak nampak batang hidung
Berbeza bagi Mak Long Yah, 50 dari parlimen Hulu Terengganu yang berkata, kesukaran membuat pilihan itu adalah kerana calon yang dipertandingkan di kawasan tersebut tidak kelihatan.
“Tak tahulah nak pilih mana, tapi sini kawasan PAS, cuma yang kerap turun calon BN saja, PAS tak nampak batang hidung,” katanya.
Pandangannya itu turut dikongsi oleh Norlia Ambak, 48, seorang peniaga di Pasar Payang, Kuala Terengganu.
Kata Norlia yang tidak mengambil kira calon HARAPAN, meskipun kawasan itu menurutnya hanya PAS dan BN yang akan bersaing, dia masih sukar membuat keputusan.
“Tak tahulah nak undi mana lagi. Kami dua penjuru saja tapi pening juga nak pilih.
“Nak kata pilih yang satu ini tiba-tiba hari mengundi pilih lain pula.
“Sebab calon sorang tu kelibat pun tak nampak, calon sorang lagi selalu juga nampak. Dia ambil perhatian lebih sikitlah yang biru (BN) ini. Tapi yang peliknya yang selalu turun ini tak menang, yang tak selalu turun ni yang menang,” katanya.
Norlia menambah isu pembangunan tidak menjadi perkara utama kepada rakyat di kawasan parlimen itu.
Sebaliknya, kata Norlia, rakyat di kawasan itu menginginkan pemimpin yang prihatin kepada rakyat.
“Macam dekat Manir ini semua ada dah belaka cuma cakna tu kurang, macam wakil rakyat tu caknalah lebih sikit kepada rakyat, maknanya sokong tu lebih sikit.
“Jangan kita beritahu dekat dia, dia buat tak tahu saja bila dah menang,” katanya.
Tradisi lawan 'biru'
Sementara itu, meskipun beberapa pengundi enggan menyatakan pilihan mereka secara terbuka, mereka dilihat cenderung untuk tidak memilih BN.
Pengundi DUN Buluh Gading yang terletak dibawah parlimen Kuala Nerus, Bahrin Ngah, 43, sebagai peniaga dia tahu calon yang harus dipilih.
Menegaskan bahawa, undi adalah rahsia, dia bagaimanapun menyatakan kecenderungan memilih pembangkang.
Menurutnya, parti pemerintah tidak prihatin kepada rakyat dan suka melakukan pembaziran dengan merujuk kepada Bangunan Warisan di Kuala Terengganu.

“Hat tu (soal undi) kita rahsia tapi tradisi kita berlawan dengan hat biru (BN), sebab biru ini dia memang nak projek, nak roboh Pasar Payang sebab dia nak pembangunan.
"Sebelum ini ada kata nak roboh Pasar Payang nak letak ke tempat Banguan Warisan itu, tapi sewa bulan-bulan tak boleh nak carilah (bayar).
"Pembangunan memang kita utamaka, bangunan empat tingkat itu (Bangunan Warisan) semua duit rakyat belaka, tapi tak boleh niaga sana, jadi membazir saja-saja.
"Kita betul nak buat pembangunan rakyat tapi jangan membazirlah, itu yang kita nampak yang tak nampak banyak lagi,” katanya yang turut mengeluh tentang kenaikan harga barang.
Wakil rakyat jadi idola
Beberapa pengundi kerusi DUN Seberang Takir yang disandang menteri besar sementara Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman pula menyatakan berpuas hati dengan pemerintahan BN di kawasan itu.
Kak Noor, 54, seorang suri rumah malah menyifatkan Ahmad Razif sebagai idolanya dan mahu wakil rakyat itu kekal di DUN Seberang Takir serta terus menjadi menteri besar Terengganu.

“Saya jadikan datuk ini idola, sebab pemerintahan dia di Terengganu ini memang bagus dan saya harap dia dapat undi terbanyak dan kekal sebagai menteri besar,
“Tengok sendiri di Sebarang Takir ini banyak pembangunan yang dibawakan. Dia pun ada buatkan rumah untuk nelayan dengan bayaran RM160 lebih sebulan, selain memberi peluang pekerjaan kepada orang kampung,” kata wanita separuh umur itu.
Fakhruzi Long, 42, dari DUN yang sama beliau juga mengakui ketokohan Ahmad Razif.
"Benda (PRU) ini lima tahun sekali dan kita pun dengan kerajaan tidak ada masalah, kita dah siap siaga dari awal. Kita harap dia kekallah sebab banyak perubahan yang dibawa.
"Soal susah dan kemiskinan itu ada dan payah nak dihapuskan semua sekali tapi setakat ini dari segi keprihatinan kerajaan, alhamdulillah dan di sini pun kawasan menteri besar jadi kemudahan itu mudah sikitlah,” katanya.
Pada PRU13 lepas, BN berjaya memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu. Sementara PAS menang 14 dan PKR menang 1 kerusi DUN di Terengganu.
Terengganu mempunyai 628,689 pengundi secara keseluruhannya.

