PRU14 | Kurang daripada 24 jam pusat pengundian dibuka, bekas menteri kabinet Tan Sri Syed Hamid Albar menggesa agar rakyat mengundi untuk perubahan.

Bekas menteri luar Malaysia itu dalam empat rangkai kenyataan di akaun Twitternya berkata, sudah tiba masanya membina sebuah negara Malaysia yang bersatu padu, cemerlang, integriti, bertanggungjawab, dan amanah.

"Bukan hint (petunjuk). Jelas siapa patut kita undi.

"Bina satu Malaysia berasaskan nasionalisme Malaysia bersatu padu, cemerlang, berintegriti, bertanggungjawab dan amanah, undi Satu Harapan," katanya tanpa memetik secara langsung nama pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (HARAPAN).

 

 

Syed Hamid yang pernah menjadi pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di bawah perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak pada 6 Mei lalu menggesa rakyat Malaysia mengundi dengan naluri dan suara hati untuk membawa perubahan.

"Pada 9 Mei nanti, marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia, mengundi dengan hati yang ikhlas untuk perubahan yang positif.

"Undilah mengikut naluri dan suara hati. Undilah dengan ikhlas. Gunakan kebijaksanaan dan pertimbangan yang rasional," katanya melalui surat terbuka.

Hari ini, Syed Hamid yang merupakan anak kepada tokoh Umno Johor, Syed Jaafar Albar melalui akaun Twitternya mengingatkan agar rakyat Malaysia belajar daripada sejarah.

"Jika kita tidak belajar daripada sejarah, maka sejarah akan menghukum kita menjadi sebahagian kisah dalam sejarah itu sendiri. Jika kita tidak boleh ubah dari dalam, biarlah kita bawa perubahan dari luar. Ia akan menjadi sesuatu yang menyegarkan," katanya.

Syed Hamid turut mengingatkan bahawa rakyat perlu relevan dan berubah untuk masa depan yang lebih baik.

"Mari kita berfikir sebagai satu Malaysia bahawa tanah air yang tercinta ini perlu mempunyai kredibiliri dan integriti di peringkat rantau Asia dan peringkat dunia serta dihormati.

"Berani dan berkorbanlah untuk melakukan perkara yang betul. Kita perlu relevan dan berubah untuk masa depan yang lebih baik," katanya.

[Baca berita penuh]