PRU14 | Pengerusi CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak, yang juga merupakan adik kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak menggesa pemimpin politik dari semua pihak memulihkan semula negara selepas hari mengundi esok.

"Terlalu banya retorik yang memecah-belahkan, situasi beremosi tidak dapat dielak.

"Selepas esok, pemimpin dari semua pihak dan institusi kita perlu menyatukan kita semula sebagai rakyat," katanya melalui Instagram.

Nazir juga menggesa semua pengundi berdaftar keluar mengundi.

Esok kita undi untuk masa depan Malaysia. Semua mesti mengundi, institusi kita perlu pastikan integriti proses pengundian dan setelah itu kita perlu terima keputusan.

"Yang menang tidak perlu ambil semua, yang kalah tak perlu hilang semua - itu adalah asas untuk demokrasi berfungsi," katanya.

Kiriman Instagram itu disertai gambar yang memaparkan petikan Larry J Saboto, penulis buku Pendulum Swing: “Every election is determined by the people who show up.” (Setiap pilihan raya ditentukan oleh rakyat yang tampil mengundi).

Isnin lalu, Star Online melaporkan Nazir dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tony Fernandes meninjau kempen pilihan raya di Kuala Selangor, Sekinchan, dan Kapar.

Semalam, Fernandes memuji pemerintahan Najib yang menurutnya mendahulukan rakyat serta menggesa pengundi mengundi berdasarkan fakta dan bukannya khabar angin.

Najib semalam dilaporkan pulang ke Kuala Lumpr selepas dua hari kunjungan ke Sabah dengan menaiki kapal terbang AirAsia yang dihiasa slogan kempen BN "Hebatkan Negaraku".