Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafidah: Saya rasa dikhianati Najib
Diterbitkan:  May 8, 2018 3:46 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

PRU14 | Bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz tidak menunggu lama untuk memberikan reaksinya selepas beliau disindir Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.

Kata Rafidah beliau berasa sedih apabila seseorang yang diberikan kepercayaan untuk menjadi pemimpin kini terbabit dalam salah laku.

"Jadi saya berasa dikhianati oleh Najib kerana melanggar sumpah kepercayaan dan amanah yang diberikan kepadanya," kata beliau kepada Malaysiakini hari ini.

Bekas menteri kanan itu berkata demikian sebagai reaksi beliau terhadap kenyataan dibuat Najib sebelum ini.

Menurut Najib beliau kecewa apabila ada beberapa anggota kanan Umno bertindak mengkhianati parti ketika pertubuhan itu berdepan pilihan raya umum (PRU).

Najib yang juga perdana menteri sementara berkata beliau bagaikan tidak percaya ada individu tertentu sanggup berbuat demikian sedangkan mereka telah mendapat pelbagai manfaat daripada parti.

"Malangnya ada orang dapat macam-macam daripada Umno, jawatan tinggi, pendapatan yang kaya, tapi sanggup dia tikam Umno dalam saat-saat macam ni," katanya di Pekan, Pahang hari ini.

Najib tidak menyebut sebarang nama namun diyakini kenyataan itu merujuk kepada Rafidah serta beberapa pemimpin veteran yang semakin lantang mengecamnya.

Selain Rafidah, turut menyertai gerakan berkempen untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) sama ada secara langsung atau tidak ialah bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin serta penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosiobudaya Tan Sri Dr Rais Yatim.

Rafidah berkata sebenarnya beliau tidak mengkhianati sesiapa ekoran sikapnya bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Hakikatnya, saya boleh dianggap mengkhianati negara dan rakyat jika sekadar duduk selesa dan melihat dari tepi bagaimana tadbir urus yang baik terhakis di Malaysia," katanya.

Dalam kenyataan itu juga Rafidah berkata beliau tidak lagi yakin dengan pemimpin parti yang mentadbir negara ini.

"Saya mendahulukan negara. Saya tidak perlu menjadi anggota mana-mana parti untuk menyokong sesiapa saja yang berjuang untuk negara dan rakyat," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS