PRU14 | Pakatan Harapan (HARAPAN) mendedahkan bahawa beberapa tokoh tempatan bersetuju membantu pelaksanaan pembaharuan fiskal sekiranya pakatan pembangkang itu berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 esok.

Dalam kenyataan bersama hari ini, pemimpin HARAPAN memaklumkan, antara yang akan menyertai usaha itu adalah bekas presiden Petronas dan ahli perniagaan yang berpusat Hong Kong.

Bagaimanapun, HARAPAN tidak mendedahkan nama individu-individu yang dimaksudkan.

"Tokoh tempatan yang dihormati, terkemuka, dan patriotik akan dijemput untuk menyumbang dalam melaksanakan pembaharuan ini.

"Ada yang telah sepakat untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini, termasuk ketua industri yang berpengalaman, bekas Presiden Petronas, ahli perniagaan yang berjaya di Hong Kong, bekas pegawai kanan dan ahli ekonomi kanan yang dihormati.

"Mereka akan memberi panduan untuk perumusan dan pelaksanaan rancangan pembaharuan," kata kenyataan media yang ditandatangani oleh Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Sebelum ini, ahli perniagaan kelahiran Malaysia Roberk Kuok mendapat sorotan media selepas wujud dakwaan beliau membiayai parti pembangkang untuk menjatuhkan BN.

Bagaimanapun, bilionair yang berpusat di Hong Kong itu menafikan dakwaan berkenaan yang pertama sekali diterbitkan laman web Malaysia Today milik Raja Petra raja Kamaruddin.

"Kuok dengan jelas menyatakan bahawa artikel Malaysia Today mengandungi fitnah yang serius. Tambahan pula, tuduhan itu adalah tidak benar dan serangan terhadapnya tidak seharusnya terjadi.

"Kuok mengambil serius tuduhan tidak berasas ini dan mencadangkan untuk mengambil langkah yang perlu terhadap Malaysia Today dan penulisnya bagi menghadapi tuduhan palsu yang terkandung dalam artikel berkenaan," kata kenyataan dari pejabat Kuok.

Susulan itu, menteri kebudayaan dan pelancongan sementara Datuk Seri Nazri Aziz melancarkan serangan terhadap Kuok, mencabarnya bertanding dalam pilihan raya umum.

Tindakan Nazri itu disusuli pula kecaman pemimpin MCA.

Sementara itu, dalam mengumumkan pembaharuan fiskal itu, HARAPAN menegaskan ia bertujuan memperbaiki iklim pelaburan, mengurangkan kos hidup dan menjalankan perniagaan, meningkatkan daya saing negara dan menggalakkan kemakmuran ekonomi yang lebih besar.

[Baca berita penuh]