PRU14 | Pengerusi Biro IT dan Media Sosial Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sebanyak 191 jentera Biro IT dan Media Sosial Umno diminta untuk memantau serta menangkis sebarang bentuk fitnah yang dijangka berterusan di setiap media sosial, lapor media tempatan

"Kita jangka akan ada bom-bom jangka berbentuk fitnah terutama dari 12 tengah malam ini sehingga esok. Meskipun waktu berkempen berakhir tengah malam ini, kita jangkakan serangan di media sosial hanya akan berhenti pada 4.59 petang esok," kata beliau kepada pemberita seperti dipetik Bernama hari ini, selepas beliau hadir program Lautan Biru bersama Nelayan di daerah itu di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Pusat Perdagangan Bandae Baru Pontian, di Pontian.

Ahmad berkata meskipun dengan adanya Akta Antiberita Tidak Benar 2018, masih banyak berita tidak benar tersebar terutama ketika kempen pilihan raya ini.

Justeru itu, beliau berharap agar kerajaan turut memperhebatkan penguatkuasaan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 meskipun selepas pilihan raya bagi memastikan mereka yang terlibat dengan penyebaran berita tidak benar sepanjang pilihan raya disiasat.

Sebelum ini, timbalan perdana menteri sementara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berulang kali membangkitkan kebimbangan berhubung serangan mengejut saat akhir pembangkang.

Hari ini juga, Zahid berkata Barisan Nasional (BN) bersedia dengan langkah 'pre-emptive' bagi menangkis serangan mengejut di saat akhir daripada pembangkang menjelang hari pengundian esok.

Zahid mendakwa menjelang saat akhir kempen, pembangkang akan meneruskan usaha menyerang kerana terdesak untuk mendapatkan undi, lapor Bernama.

"Pasti ada...Dulu masa PRU13, dikatakan ada 40,000 pengundi Bangla (Bangladesh) masuk (undi BN) mana ada? Sekarang ini siapa pulak yang akan masuk?

“Tetapi masa itu kita tak bersedia langkah pre-emptive. Sekarang kita bersedia," katanya seperti dipetik Bernama hari ini, ketika berucap pada Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat dan perasmian Dewan Muafakat Taman Yayasan di Segamat hari ini.

Akta Anti Berita Tidak Benar diluluskan parlimen menjelang pembubarannya April lalu. Undang-undang antiberita palsu ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda RM500,000 kepada mereka yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita tidak benar.

Berita tidak benar di bawah akta itu ditakrifkan sebagai apa-apa berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu sama ada dalam bentuk rencana, visual, atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.