PRU14 | Menteri sementara Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan tindakan pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tertentu menyatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai melucukan.

Ini kerana, katanya, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad dikenali sebagai pemimpin yang paling banyak menyekat kesatuan pekerja.

"Pada PRU13, sesetengah pemimpin tertinggi MTUC menunjukkan kecenderungan terhdap pembangkang dan BN tetap menang," katanya melalui Twitter dengan hashtag #sillyseason.

Awal hari ini, Setiausaha Agung MTUC J Solomon menggesa 14 juta pekerja di seluruh negara mengundi untuk HARAPAN dalam pilihan raya umum (PRU) esok.

Menurut J Solomon, dengan mengundi HARAPAN akan menunjukkan pekerja adalah kunci kepada ekonomi negara dan tidak seharusnya diabaikan.

"Pekerja mempunyai kuasa untuk tidak mengundi kerajaan yang antipekerja dan kleptokratik kerana suara dan kekuatan pekerja sangat berkuasa

"Kami mahukan kerajaan yang memberi penghormatan yang sama terhadap kami dalam perjanjian tiga pihak, agar pekerja mempunyai saham yang sama dalam kekayaan negara," katanya.

Gesaan Solomon itu dilihat bertentangan dengan Presiden MTUC Abdul Halim Mansor yang memuji perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak enam hari lalu.

Dalam laporan Utusan Online, Abdul Halim dipetik sebagai memuji Najin kerana mempertahankan gaji minima dalam pentadbirannya.

"Kita lihat Najib prihatin dengan kebajikan pekerja.

"Sebagai contoh, dalam isu gaji minima, MTUC sudah berjuang untuk perkara ini sekian lama namun tidak ada kesan. Namun ia dilaksanakan di bawah pentadbiran Najib.

"Bukan saja gaji minimum tapi juga Akta Majlis Perundingan Gaji Negara yang boleh dikaji semula selang dua tahun," tambahnya.

[Baca berita penuh]