Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Sehari lagi sebelum pengundian esok, keputusan pilihan raya di Kelantan masih tidak jelas di Kelantan.

Berdasarkan kempen masing-masing dengan pelbagai pendekatan – sama ada ceramah kelompok, ceramah mega dan program-program dan turun padang – masih sukar untuk menyatakan parti mana mendahului.

Pakatan Harapan kini bergantung harapan kepada kemunculan anak bekas mursyidul am PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Omar, lebih-lebih lagi selepas beliau diumumkan sebagai calon menteri besar.

BN pula masih mengharapkan pertembungan tiga penjuru antara PAS dan serpihannya untuk menangguk di air keruh.

Bagaimanapun peluang antara ketiga-tiga parti ini masih sama rata dan hanya isu-isu besar di saat-saat akhir akhir akan mengubah hakikat ini.

Di parlimen Kota Bharu sebagai contoh, kerusi majoriti besar PAS, pertembungan antara Pengerusi HARAPAN Kelantan Husam Musa; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Fikhram Hamshi Mohd Fatmi (BN) paling mencuri perhatian.

Peluang ketiga-tiga calon ini saling terbuka walaupun Takiyuddin memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 15,970 undi pada pilihan raya lalu.

Di atas kertas, dengan peningkatan pengundi sekitar 7,000 orang, Husam seperti juga Fikhram hanya boleh menang sekiranya berjaya mencuri sekurang-kurangnya 40 peratus pengundi PAS.

Ia perlu juga bergantung harapan terhadap peralihan undi BN dan dikukuhkan lagi dengan undian 50 peratus pengundi baru.

Bagaimanapun, faktor saingan tiga penjuru menyebabkan Takiyuddin tidak boleh mendabik dada terlebih dahulu.

Di Bachok, persaingan hebat hanya berlaku antara calon PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan wakil BN Datuk Awang Adek Hussin. Wakil HARAPAN Zulkifli Zakaria dilihat kurang mencabar.

PAS yang menjuarai kerusi itu dengan majoriti tipis 201 undi pada pilihan raya lalu dilihat agak mencabar untuk mempertahankannya.

Namun, keberadaan Nik Abduh yang menggantikan tempat Ahmad Marzuk Shaary itu tidak mustahil memberi aura tersendiri.

Tetapi harus diingat, BN hanya kurang bernasib baik susulan berlaku 'cah keting' yang ketara pada pilihan raya 2013 lalu dan kali ini jika budaya itu dibendung tidak mustahil akan menghantar Awang Adek dewan rakyat sekali lagi.

Keadaannya akan ditentukan berapa banyak pecahan antara undi PAS dan BN berpihak kepada HARAPAN. Jika pecahan PAS lebih besar berpihak pada HARAPAN, maka BN berpotensi untuk menang dan sebaliknya.

Keadaan itu juga dihadapi di kerusi parlimen Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Sementara itu, pengumuman Nik Omar sebagai calon menteri besar HARAPAN pula sekurang-kurangnya menarik perhatian pengundi atas pagar yang rata-rata mahu melihat perubahan pentadbiran kerajaan negeri.

HARAPAN di peringkat DUN mempunyai harapan agak cerah di beberapa kerusi seperti Salor, Kota Lama, Apam Putra, Gual Periok dan Chempaka.

PAS dijangka akan menguasai kubu kuat mereka walaupun diancam sengit oleh pihak lawan antaranya di Demit, Bunut Payong, Chetok, Panchor, Kijang, Pasir Pekan, Meranti, Pasir Tumboh, Bukit Panau, Temangan, Pulai Chondong dan Melor.

Bagi 23 kerusi lain persaingan sengit akan berlaku dan peluang terbuka kepada semua parti dengan situasi sukar dijangka.

Sementara itu situasi terkini juga mendapati pengundi sudah bersedia dengan pilihan masing-masing termasuk golongan pengundi atas pagar.

Di Kelantan pengundi boleh dikategori kepada tiga pecahan iaitu pengundi tegar yang tetap mengundi parti pilihannya walau apa jua isu dimainkan pihak lawan.

Kedua, golongan pengundi yang mahu melihat perubahan selepas jemu dengan pentadbiran PAS sejak 28 tahun lalu.

Ia akan berpihak sama ada kepada BN atau HARAPAN, manakala kategori ketiga pengundi yang mengikut gelombang arus perdana.

Ketika sukar untuk membaca kemenangan bakal berpihak kepada siapa, wujud juga kemungkinan 'kerajaan tergantung' di Kelantan.

Ia akan berlaku sekiranya PAS gagal mempertahan kemenangan 2/3 sekali gus bakal mewujudkan kerajaan campuran.

Lihat Komen
ADS