Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCMC sasar 200,000 premis luar bandar beralamat lengkap 2020
Diterbitkan:  May 9, 2018 5:41 AM
Dikemaskini: 10:20 PM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyasarkan 200,000 premis di kawasan luar bandar menerima nombor premis lengkap menjelang 2020 bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan pos negara menerusi Projek Alamat Untuk Semua.

Projek Alamat Untuk Semua, merupakan projek penetapan nombor alamat kediaman dengan memanfaatkan sistem teknologi pintar.

Ketua Pegawai Komunikasi dan Ekosistem Digital MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata projek yang mendapat kerjasama Pos Malaysia itu bertujuan memudahkan penerimaan bungkusan dan e-dagang.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif-inisiatif seperti transformasi perkhidmatan pos negara, penambahbaikan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dan pembinaan infrastruktur telekomunikasi di seluruh negara dijangka membantu merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kesemua inisiatif yang dinyatakan ini memberikan fokus kepada pembangunan jangka panjang negara. Adalah menjadi harapan kami agar peluang-peluang yang disediakan ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya demi masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MCMC juga, katanya, menjalin kerjasama dengan Pos Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan Ejen Pos Berdaftar Pos di PI1M yang terpilih di bawah Pelan Transformasi Pos Sabah dan Sarawak (PTPSS) Fasa 3.

“Melalui projek berkenaan, masyarakat luar bandar terutamanya golongan usahawan diberi kemudahan akses terhadap perkhidmatan pos dan ini membantu aspek pengurusan logistik bagi penghantaran produk jualan menjadi lebih mudah,” katanya.

Di samping itu, bagi menambah baik perkhidmatan penghantaran di kawasan luar bandar, melalui PTPSS juga, seramai 1,000 Posmen Komuniti dan Wakil Posmen Komuniti telah diwujudkan bagi membantu pihak Pos Malaysia melaksanakan serahan mel dan bungkusan terus ke rumah.

“Hasil daripada usaha itu, kadar liputan serahan di Sabah dan Sarawak masing-masing telah meningkat sebanyak 15 peratus dan 27 peratus,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS