PRU14 | Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sumber kewangan yang akan digunakan Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak dalam merialisasikan 'gula-gula' saat akhir malam tadi.
"Itulah, dia bagi banyak gula, dia potong cukai, belanja banyak mana dia dapat duit.
"Dia tak kutip cukai lepas tu nak belanja banyak lagi daripada mana dia dapat duit. Dia nak pinjam ke, (atau) dia nak jual negara," katanya kepada pemberita di Kolej Komuniti Langkawi.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas tawaran Najib menerusi ucapan khasnya sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk BN, malam tadi.
Najib turut mengumumkan kejutan saat akhir iaitu jika BN menang, cuti peristiwa khas 14 dan 15 Mei ini.
Selain itu pelepasan cukai pendapatan kepada golongan berusia 26 tahun ke bawah dan juga bayaran tol tidak dikenakan selama lima hari pada perayaan Aidilfitiri 2018.
Sementara itu Dr Mahathir ditanya sama ada telefon bimbitnya digodam oleh pihak tak bertanggungjawab seperti yang berlaku ke atas pemimpin pembangkang yang lain.
"Ya (ada telefon) Tak (digodam)," katanya ringkas.
Dr Mahathir sebelum itu membuat lawatan ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Teriang dan Kolej Komuniti Chenang bagi melihat jumlah pengundi yang keluar, pagi ini.
Ketika di Kolej Komuniti Chenang, ada diantara pengundi yang melaungkan hidup Tun dan bertepuk tangan menyambut kehadiran Pengerusi Bersatu itu.
Selepas lawatan ini Dr Mahathir di jangka akan membuang undi di Titi Gajah, Alor Setar.
