Najib kecam panggilan 'spam', HARAPAN akan adu SKMM
PRU14 | Pemimpin BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN) masing-masing mengadu menerima serangan menerusi panggilan telefon spam dan laman web milik parti tidak boleh diakses.
Manakala pemimpin HARAPAN turut mendakwa e-mel dan akaun media sosial mereka digodam.
Antara pemimpin BN yang menerima panggilan telefon dipercayai dari luar negara ialah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menteri sementara di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan serta Datuk Seri Azalina Othman Said.
Setiausaha Agung GERAKAN, Liang Teck Meng dan menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak turut menerima nasib sama.
"Telefon bimbit pemimpin BN telah diserang sejak pagi ini. Terima panggilan dari luar negara setiap saat. Ini bertujuan untuk menghalang kami dari berhubung dengan jentera kami. Taktik yang kotor!," tulis Abdul Rahman di Twitternya.
"Saya telah mendapat spam call bertalu-talu pagi ini. Cukup pelik," tulis Salleh.
Sehubungan itu, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak mengecam sekeras-kerasnya taktik "panggilan spam" yang dibuat terhadap pimpinan partinya.
Malah, Najib yang juga perdana menteri sementara turut memberitahu, selain panggilan spam berkenaan, laman web BN juga tidak boleh diakses.
"Saya mengecam sekeras-kerasnya taktik "panggilan spam" yang diterima ramai pemimpin BN dari nombor antarabangsa.Telefon yang diserangi "spam" ini tak dapat berfungsi seperti biasa.
"Selain itu, banyak laman web BN pun tak boleh diakses. Saya telah arahkan supaya tindakan segera diambil," kata Najib di Twitternya hari ini.
Di pihak HARAPAN pula, antara pemimpin yang terlibat dengan serangan siber itu ialah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Azmin berkata telefon bimbitnya, e-mel dan Facebook telah digodam sejak jam 6 pagi ini. Sementara itu, organ parti DAP, Roketkini dan NGO Invoke turut menghadapi masalah apabila tidak dapat diakses.
Para pemimpin dan calon HARAPAN lain yang media sosial dan butiran perhubungan mereka dilaporkan telah digodam termasuk Zairil Khir Johari, Elizabeth Wong, Chang Lih Kang dan Lee Boon Chye serta Kerk Chee Yee.
Calon PSM Sungai Siput Dr Michael Devaraj Jeyakumar juga dilaporkan menghadapi masalah yang sama.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Zamri Maulan juga mengadu menerima banyak panggilan daripada nombor dari Amerika Syarikat.
"Saya menerima panggilan sejak 7 pagi, setiap beberapa minit," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu hari ini, pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memberi amaran serangan besar sedang dijalankan terhadap pemimpin dan calon HARAPAN.
Calon Lembah Pantai itu mengadu beliau menerima banyak e-mel dan panggilan telefon, seperti yang dilaporkan oleh DAP Pulau Pinang sebelum ini.
"Ini bertujuan untuk menjejaskan komunikasi kami, terutama di kalangan para pemimpin," kata Fahmi.
Fahmi berkata beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Ayo, SKMM, buat sesuatu," katanya.

