Di hari mengundi, Nik Abduh masih terkilan dengan Nik Omar
PRU14 | Anak kelima bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohamad Abduh masih belum dapat menerima menyertaan abangnya, Nik Omar sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), hari ini.
Dengan nada terkilan katanya, keputusan Nik Omar untuk menjadi calon di dewan undangan negeri (DUN) sama sekali di luar jangkaan.
"Pada pagi hari penamaan calon semasa nak keluar rumah, bonda bagitahu abang (Nik Omar) nak jadi calon.
"Saya kata tak mungkin, kerana nama calon yang diumumkan sebelum itu tak ada nama dia, tak terdetak dalam hati masa itu dia nak jadi calon.
"Sebab Ustaz Nik Omar ini seorang yang sangat taat pada ibu dan dia sentiasa dengar cakap dan saya sendiri pun walaupun duduk serumah dengan bonda, tetapi banyak urusan keluarga Nik Omar ambil alih susulan," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.
Belia berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menjalankan proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti, iaitu salah satu pusat pengundian bagi DUN Panchor dan parlimen Pengkalan Chepa.
Terdahulu, Nik Omar yang juga calon HARAPAN di DUN Chempaka turut hadir ke lokasi sama yang menjadi lokasi keluarga itu termasuk ketika Allahyarham Nik Abdul Aziz masih hidup bagi proses pembuangan undi.
'Hubungan keluarga terserah pada Nik Omar'
Sementara itu, Nik Mohamad Abduh yang juga calon PAS bagi parlimen Bachok berkata, hubungan antara ahli keluarga dan Nik Omar selepas PRU14 ini terserah kepada abangnya itu untuk mencorakkannya.
"Kami adik-beradik menyatakan sokongan penuh kepada bonda dan hubungan itu terserah kepada Nik Omar sendiri.
"Dia telah melanggar satu adab paling besar yang wajib dalam agama, iaitu dia kena patuh pada arahan ibu.
"Kita bercakap soal hukum kami sekeluarga yang terikat dengan hukum iaitu taat kami kepada ibu bapa," katanya.
Nik Omar tak balik ke rumah bonda
Tambah ahli jawatankuasa PAS pusat itu, mereka berdua juga tidak berhubung sejak hari penamaan calon sehingga hari ini.
"Saya dan ahli keluarga belum bertemu dengannya, sebab dia tak balik rumah, tak ada keluarga dapat berhubung dengan dia. Saya dimaklumkan sepanjang tempoh itu dia berada di markas HARAPAN," katanya.
Tegas Nik Mohamad Abduh, beliau yakin penyertaan Nik Omar itu adalah usaha terakhir dibuat oleh HARAPAN untuk meraih sokongan masyarakat.
"(Ia berlaku) Dengan melanggar satu tatasusila seorang muslim, saya memang tak dapat bayangkan ini berlaku.
"Sirah para ulama tidak pernah meletakkan ibu di belakang apa lagi dalam politik," katanya.

