PRU14 l Mengenai isu pengundi memakai seluar pendek tidak dibenarkan masuk ke pusat mengundi yang tular di media sosial, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata jika insiden tersebut benar-benar terjadi, individu terbabit boleh membuat laporan kepada pihak polis atau mengemukakan petisyen mahkamah.

"SPR tidak boleh menerima aduan secara cakap-cakap begini. Saya perhatikan di media sosial banyak isu ditularkan tetapi tidak banyak yang dikemukakan kepada polis," katanya.

Mohd Hashim berkata SPR tidak pernah menetapkan sebarang kod etika berpakaian ketika mengundi dan memadai sekadar pengundi berpakaian sopan.

Mengulas isu pengundi meletakkan kertas undi dalam peti undi yang salah, beliau berkata pengundi tidak perlu bimbang kerana undi mereka akan tetap dikira ketika sesi pengiraan selepas pengundian ditutup pukul 5 petang nanti.

"Ini bukan undi rosak, ketika perkiraan nanti, ejen (calon dan parti) ada dan dia akan lihat kertas undi mana untuk kerusi Parlimen dan mana untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), di Putrajaya hari ini.

Menurut laporan media, pengundi di Balai Mesyuarat Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan meletakkan kertas undi untuk Parlimen ke dalam peti undi untuk DUN dan begitu juga sebaliknya.

- Bernama