Hasrat seorang wanita untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia selepas rebah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai di Dungun pagi tadi.
Dalam kejadian pada kira-kira 8.20 pagi, Rokiah Sulung, 54, dari Kampung Pelandang rebah ketika menunggu giliran untuk mengundi di pusat berkenaan dan disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian oleh pegawai perubatan yang bertugas.
Anak sulungnya, Nurzita Md Nur, 36, berkata ibunya yang menghidapi penyakit darah tinggi tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum itu.
“Mak beratur di saluran dua manakala saya beratur di saluran empat (untuk mengundi). Masa tengah beratur, orang beritahu mak terjatuh dan saya terus berlari mendapatkan mak.
“Masa saya sampai, mak masih sedar. Saya sempat melihat mak saya menarik nafas beberapa kali sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pulau Serai di Dungun
Nurzita berkata jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Serai selepas asar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.
- Bernama
