Selepas kira-kira empat jam waktu mengundi bermula jam 8 pagi tadi, sekurang-kurangnya empat laporan polis dibuat berhubung kemungkinan terdapat salah laku.

Di Pulau Pinang, pengundi Goh Por Cheong berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa dirinya telah mengundi, walaupun dia belum berbuat demikian.

Goh, yang beratur untuk mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Kong Min Pusat di Air Itam sejak jam 8.30 pagi, berkata beliau mengesyaki namanya telah digunakan oleh orang lain.

"Saya dapati nama saya telah dipotong oleh pegawai SPR, yang memberitahu bahawa saya telah mengundi.

"Tetapi saya belum mengundi dan saya sedang berbaris, saya mengesyaki nama saya telah digunakan oleh orang lain," kata Goh dalam laporan polis yang dilihat oleh Malaysiakini.

Sementara itu, dua laporan polis dibuat di Batu, Kuala Lumpur oleh Mohmad Shahrul Razali dan Mohd Faizal Anuar yang mendapati bahawa kertas undi mereka mempunyai tanda 'titik' di petak bagi calon BN.

Menurut laporan polis mereka, 'titik' berkenaan berada di atas huruf 'H' dalam nama calon BN, Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Mereka mendakwa permintaan untuk kertas undi baru dari ketua pusat pengundian itu juga mendapati terdapat 'titik' yang sama di tempat yang sama di semua kertas undi.

"Atas sebab itu tiada kertas undi baru dikeluarkan dan saya diminta untuk meneruskan proses pengundian.

"Saya memaklumkan ejen pengundian dan saya diarahkan membuat laporan polis," kata Mohd Shahrul.

Di Port Dickson, polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung insiden kekecohan melibatkan pengedaran kertas undi palsu yang berlaku di pekarangan Sekolah Kebangsaan Port Dickson, pagi tadi.

Bernama memetik Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin sebagai berkata laporan tersebut dibuat oleh calon Pakatan Harapan di Balai Polis Port Dickson, pada kira-kira 10.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati remaja perempuan yang mengedarkan kertas undi palsu itu merupakan Orang Kelainan Upaya iaitu seorang yang lembam.

“Kami masih menyiasat sama ada remaja itu diupah oleh mana-mana pihak untuk berbuat demikian,” katanya.

Noor Azam berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 24 B(7) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang menetapkan semasa tempoh berkempen tidak boleh mempamer atau melekat apa-apa bahan pilihan raya dalam jarak 50 meter dari mana-mana sempadan tempat mengundi.

Sementara itu, seorang wakil Pakatan Harapan, R. Saravanan berkata remaja itu didapati sedang mengedarkan kertas undi palsu kepada para pengundi yang memasuki pekarangan pusat mengundi tersebut.

“Kertas undi itu memaparkan tanda pangkah di kotak calon Barisan Nasional, Datuk VS Mogan yang bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson,” katanya.