Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Panggilan spam: MCMC akan ambil tindakan tegas
Diterbitkan:  May 9, 2018 3:36 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta penyedia perkhidmatan sedang menjalankan siasatan berhubung panggilan spam yang diterima oleh calon-calon Pilihan Raya Umum ke-14 hari ini.

Suruhanjaya itu berkata tindakan tegas yang diperuntukkan oleh undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab apabila mereka dikenal pasti.

“MCMC menerima aduan daripada kedua-dua pihak bertanding yang menerima panggilan telefon serta panggilan terputus hari ini.

“Siasatan awal kami mendapati ia sebab teknikal daripada serangan BOTS yang dilancarkan oleh pihak tidak dikenali dari pelbagai sumber dengan sasaran berbeza tanpa mengambil kira parti politik,” kata MCMC dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan menggesa pihak terbabit menghentikan serangan teknikal sedemikian pada kadar segera kerana ia boleh membahayakan rangkaian telekomunikasi sekali gus menyusahkan orang ramai selain menimbulkan risiko keselamatan.

Pada masa sama, MCMC menasihati mereka yang menerima panggilan sedemikian agar tidak menjawabnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengecam taktik panggilan spam daripada nombor antarabangsa yang diterima oleh ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) hari ini.

Najib yang juga Pengerusi BN turut mengarahkan tindakan segera berhubung perkara itu diambil.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata serangan gaya baharu itu menyasarkan kebanyakan telefon dan e-mel utama calon Pakatan Harapan.

Selain pemimpin politik, pegawai kanan kerajaan seperti Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut menjadi sasaran.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan MCMC berhubung serangan ‘BOTS’ yang mengganggu talian komunikasi pemimpin-pemimpin kerajaan serta parti politik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata serangan ini dilihat sebagai usaha untuk menjejaskan ketenteraman proses mengundi PRU14.

“PDRM dan MCMC sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai sesuatu laporan berita yang tidak sahih atau ditularkan dalam media sosial berkaitan keputusan PRU14.

Mohamad Fuzi berkata pelbagai laporan berita palsu akan dikeluarkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kegusaran awam pada PRU14 ini.

Beliau meminta orang ramai menyemak terlebih dahulu kesahihan sumber dan fakta sebenar sebelum mempercayainya atau menyebarkan sesuatu berita itu.

Katanya masyarakat hari ini perlu lebih bijak menilai setiap kesahihan berita yang dikeluarkan mana-mana pihak serta mendapatkan pengesahan.

“Kalau mereka terus percaya dan sebagainya, ini sudah tentu akan mempengaruhi sentimen dan persepsi rakyat terhadap perkara tidak benar daripada pihak tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Rendah Kebangsaan Bangsar hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS