Jeyakumar kata BN mungkin menang di Sungai Siput
Tujuh jam selepas pengundian bermula, penyandang Sungai Siput dua penggal, Dr D Michael Jeyakumar, tidak menolak kemungkinan dia tidak mampu mempertahankan kerusi parlimennya kali ini.
Menurutnya, BN dijangka menawan semula kerusi yang pernah menjadi kubu kuat bekas presiden MIC Tun S Samy Vellu kerana undi pembangkang berpecah.
"Sekiranya PSM bertanding menentang BN sahaja, kita boleh menang.
"Tetapi sekarang dengan (calon) PKR dan PAS, susah bagi kita untuk menang," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di bilik operasi kempennya petang tadi.
Jeyakumar berkata beliau kecewa dengan keputusan "tidak bijak" Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk meletakkan calon di kerusi itu.
Pemimpin PSM berkata, adalah sesuatu yang aneh bahawa HARAPAN sedia menyokong calon Bebas untuk kerusi Parlimen Batu tetapi bukan anggota parlimen dua penggal yang telah berkhidmat di kerusi berkenaan.
HARAPAN menyokong P Prabakaran seorang pelajar undang-undang berusia 22 tahun selepas Naib Presiden PKR, Tian Chua hilang kelayakan pada hari penamaan pada 28 April lalu berhubung denda yang dikenakan ke atasnya.
Jeyakumar berkata PSM sentiasa bersama barisan pembangkang menentang BN.
"Kita mungkin tidak bersetuju beberapa prinsip seperti (Dr) Mahathir (Mohamad mengetuai pembangkang) tetapi kita juga menentang BN," katanya.
Jeyakumar juga mengakui bahawa sepanjang kempennya, dia sering ditanya mengapa PSM tidak bersama HARAPAN.
"Kita jelaskan kepada rakyat tetapi saya tidak pasti sama ada rakyat memahami dan menerima (sebab-sebab).
"Orang kata, 'Kamu baik tetapi mengapa kamu tidak bersama pembangkang dan menghalang jalan mereka ke Putrajaya," katanya.
Sungai Siput menyaksikan pertandingan empat penjuru. Selain Jeyakumar, calon lain yang bertanding adalah Timbalan Presiden MIC Datuk Seri SK Devamany, calon PKR Kesavan Subramaniam dan calon PAS Ishak Ibrahim.
Jeyakumar pertama kali memenangi kerusi itu pada pilihan raya 2008 selepas membuat kejutan menumbangkan Tun Samy Vellu.

