Ombak hijau, PAS tawan T’gganu, kekal di Kelantan
Keputusan tidak rasmi menunjukkan bahawa PAS berjaya menawan kerajaan negeri Terengganu selepas memenangi 21 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri.
BN dilaporkan hanya menang di 5 kerusi manakala Pakatan Harapan belum memenangi sebarang kerusi.
Sebuah parti hanya memerlukan sekurang-kurangnya 17 kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah di Terengganu.
Parti Islam itu juga dilaporkan kekal di Kelantan. Setakat ini PAS dikatakan menang di 14 daripada 45 kerusi DUN. BN pula berjaya mendapat 8 kerusi.
Calon HARAPAN, Nik Omar Nik Abdul Aziz kecundang di Chempaka.
Anak kedua bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu meraih 2,418 undi jauh di belakang dua pencabarnya.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan calon PAS yang juga penyandang kerusi itu, Ahmad Fathan Mahmood berjaya mengekalkan kedudukannya dengan jumlah undi 10,549 undi.

