Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

EDITORIAL | Tanggal 9 Mei 2018, inilah hari bersejarah kuasa undi rakyat Malaysia. Kemarahan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak membawa mereka keluar dalam jumlah besar untuk mengundi dalam pilihan raya umum ke-14 yang bersejarah.

Hanya segelintir rakyat Malaysia yang menyangka mereka akan dapat melihat hari ini - kekalahan BN yang dipimpin Umno yang telah berkuasa selama 61 tahun.

Inilah kali pertama negara menyaksikan perubahan kerajaan sejak kemerdekaan dari British pada tahun 1957.

Malaysia mungkin satu-satunya negara di dunia, selain segelintir negara komunis, yang tidak pernah mengalami perubahan rejim.

Kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) bahkan lebih luar biasa disebabkan terdapatnya pembahagian kawasan parlimen yang memberi kelebihan parti pemerintah, banyak cubaan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggagalkan kempen pembangkang dan mengadakan hari pengundian pada pertengahan minggu ini, yang kemungkinan besar mengakibatkan jumlah pengundi yang lebih rendah.

Sekali air bah sekali pasir berubah, BN tumbang kerana 'tsunami rakyat Malaysia' - Melayu, Cina dan India - juga gelombang dari Sabah dan Sarawak.

Pada penghujung hari, persempadan semula, yang diluluskan parlimen beberapa minggu sebelum pilihan raya telah memakan diri.

Pengundi, kecewa dengan pelbagai isu, membuat keputusan di peti undi di seluruh negara bagi mengagalkan rancangan BN untuk menipu pilihan raya ini.

Lebih penting lagi, pilihan raya ini menyaksikan sokongan orang Melayu memihak kepada pembangkang walaupun ditakut-takutkan dan cuba digula-gulakan dengan 'sogokan'.

Oleh yang demikian, Malaysia telah memulakan langkah pertama menjadi sebuah negara 'normal' (biasa).

Negara 'normal' bermakna dua atau lebih banyak gabungan parti politik akan bersaing untuk kuasa. Negara 'normal' bermaksud kuasa datangnya daripada rakyat dan bukannya ahli politik. Dalam sebuah negara 'normal' , kaum dan agama bukanlah 'alat politik.'

Kini kerja keras baru bermula. Tiada seorang pun boleh berharap kerajaan baru akan semudahnya dapat memulihkan kerosakan negara yang telah berakar-umbi selama beberapa dekad.

Bagi sebuah negara yang secara politik berpecah-belah, pastilah mengambil masa menyembuhkan luka-lukanya dan untuk rakyat Malaysia membina semula kepercayaan antara satu sama lain serta membetulkan banyak institusi negara yang telah gagal.

Suara rakyat

Penghargaan patut diberikan kepada pimpinan BN seperti Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang amat berbesar hati menerima kekalahan, menekankan kepentingan menghormati suara rakyat 

Begitu juga, pendukung HARAPAN mesti berhati-hati dengan kemenangan ini.

Tarikh 9 Mei 2018 adalah peringatan kepada semua ahli politik supaya tidak memandang rendah keupayaan rakyat. Hari ini menjadi peringatan bahawa rakyat ialah tuan mereka dan ahli-ahli politik dipilih untuk berkhidmat dan bukan untuk menjadi tuan kepada rakyat.

Adalah bijaksana bagi kerajaan baru untuk sentiasa memegang peringatan ini.

Tahniah Rakyat Malaysia!

Lihat Komen
ADS