ULASAN | Semalam, rakyat Malaysia telahpun keluar dan menjayakan satu daripada proses yang amat penting untuk demokrasi di negara ini.

Tak kira pandangan politik kita, setiap rakyat Malaysia patut berasa bangga dan tidak seharusnya rasa dukacita dengan keputusan dalam pilihan raya ini.

Saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersatu pada detik yang penting ini. Kita tidak boleh membenarkan apa yang kita capai pada hari ini hilang.

Dalam pilihan raya ini, Pakatan Harapan (HARAPAN) menumbangkan beberapa kubu kuat Barisan Nasional dan memperolehi majoriti yang cukup kuat di parlimen.

Rakyat negara ini telahpun bersuara dan sudah tiba masanya untuk kita mengejar impian kita demi sebuah masa depan yang cerah.

Kita harus meneruskan perjuangan kita untuk mencetuskan perubahan untuk kebaikan semua lapisan masyarakat yang majmuk ini.

Ketidakcekapan SPR

Pada masa yang sama kita tidak seharusnya abaikan dan lupa ketidakcekapan yang ditunjukan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menangani pilihan raya kali ini.

Semalam pun terdapat banyak percanggahan-percanggahan yang ditemui dan telahpun dilaporkan kepada pihak polis.

Di kawasan Taman Medan di bawah kerusi parlimen P105 Petaling Jaya di mana saya telah bertanding, terdapat dua kes di mana para pengundi tidak dibenarkan menunaikan tanggungjawab dan hak mereka sebagai pengundi.

Pihak SPR tidak membenarkan pengundi ini mengundi walaupun mereka telah beratur selama beberapa jam.

Tidak ada alasan bagi pihak SPR untuk membenarkan pekara-pekara sebegini berlaku secara berleluasa apatah lagi semasa berlakunya satu pilihan raya yang cukup penting dalam negara Malaysia.

Saya juga ingin berterima kasih kepada pengundi di P105 Petaling Jaya kerana menyokong saya dengan memberikan saya majoriti yang besar.

Sepanjang proses pilihan raya ini saya telah mendengar kisah-kisah daripada penduduk-penduduk di Petaling Jaya yang menyentuh hati saya.

Mereka telah menceritakan pergelutan mereka akibat daripada masalah ekonomi dan pengurusan negara ini.

Ramai di antara kita tidak lagi mampu menampung kos keperluan asas lagi. Ekonomi kita pula semakin merosot.

Pada masa yang sama, kita dapat lihat institusi-institusi negara kita juga sedang roboh.

Dengan itu, saya ingin mengesahkan semula bahawa saya tidak akan mengabaikan matlamat saya untuk mengukuhkan agenda reformasi saya apabila di parlimen.

Melalui kerjasama dengan Pakatan Harapan, saya bertekad untuk menjadi seorang ahli politik yang memperjuangkan keperluan mereka yang tertindas.

Kita harus bersatu padu dalam menjayakan usaha-usaha yang ingin kita capai demi kesejahteraan negara.

Sudah tibanya masa untuk kita menegakkan keadilan yang telah dirampas dari kita sejak sekian lamanya.


MARIA CHIN ABDULLAH Merupakan bekas pengerusi BERSIH dan calon bebas di Parlimen Petaling Jaya.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.