Suasana hiba menyelubungi Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak menyampaikan amanat terakhir.

Ini susulan BN yang diterajui Umno tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semalam.

Najib bercakap di hadapan kira-kira 200 pengamal media dan ahli parti yang datang memberi sokongan.

Turut menemani Najib adalah kepemimpinan kanan parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketiga-tiga presiden parti komponen BN iaitu presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam, dan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong tewas semalam dan tidak hadir bersama.

MCA menyaksikan tujuh kerusi parlimen yang dimilikinya berkurang kepada satu kerusi, manakala kerusi parlimen MIC tinggal dua daripada empat kerusi serta Gerakan tidak memperoleh sebarang kerusi.

Najib pada ucapannya antara lain berkata BN akan menghormati segala keputusan yang bakal dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berhubung siapa bakal menjadi menjadi perdana menteri.

Katanya, mengikut perlembagaan persekutuan, pemilihan jawatan pemimpin negara itu adalah berdasarkan prinsip siapa yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Beliau walau bagaimanapun tidak menyentuh tenatang masa depan politiknya atau sama ada beliau akan terus menerajui Umno dan BN.

Bekas perdana menteri itu sebaliknya berkata beliau dan pasukannya telah melakukan yang terbaik untuk kepentingan rakyat sepanjang mentadbir negara ini.

Menurut Najib, sejak mengambil alih kepemimpinan negara pada tahun 2009, kerajaan sedaya-upaya meningkatkan kualiti hidup rakyat bagi menentukan masa depan lebih baik dan generasi akan datang.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, keputusan PRU14 jelas sekali menunjukkan bahawa apa yang telah ditawarkan BN kurang memberi tarikan kepada rakyat berbanding apa yang dijanjikan pihak lawan.

Semalam, gabungan pembangkang Pakata Harapan mengumumkan berjaya membentuk kerajaan setelah menang lebih 122 kerusi Parlimen. BN memenangi 79 kerusi dan PAS pula 18.