BN Johor janji pastikan peralihan kuasa lancar
Bekas Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin menerima kegagalan BN mempertahankan kerajaan negeri dan berjanji memastikan peralihan kuasa kepada Pakatan Harapan secara aman.
"Rakyat telah mengundi wakil mereka. Sebagai ketua BN Johor, saya menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
"Saya mengucapkan tahniah kepada HARAPAN kerana telah membentuk kerajaan negeri. Saya akan memastikan peralihan kuasa berjalan lancar.
“Saya ucapkan kepada kerajaan baru semoga dapat lakukan yang terbaik dan dapat memelihara kepentingan Bangsa Johor," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Umno negeri.
Bagaimanapun, Khaled enggan mendedahkan punca-punca kekalahan BN Johor, sebaliknya hanya menyatakan bahawa bedah siasat itu akan dilakukan.
Beliau juga berkata parti itu akan membincangkan mengenai wakil BN mana yang bakal menjadi ketua pembangkang negeri itu, namun enggan memberi butiran lanjut.
Namun begitu, veteran Umno dan ahli Dewan Undangan Negeri Benut Hasni Mohamad berkata beliau bersedia menggalas jawatan tersebut.
"Berdasarkan kepada perbincangan parti, saya mungkin menjadi ketua pembangkang. Saya tidak keberatan untuk memikul tanggungjawab itu."
Beliau mengakui Umno telah menjarakkan diri mereka dengan rakyat, dan faktor ini menyumbang kepada kekalahan terbesar di Johor.
"Oleh kerana Umno menjauhi masyarakat, kami gagal memahami suara hati rakyat. Kami hanya bekerja dalam kalangan anggota kami sendiri.
"Dalam kempen kami, kebanyakan masa kami gunakan untuk berdialog dengan jentera kami. Kami tidak berdialog dengan rakyat."
Katanya, beliau tidak meramalkan bahawa BN akan kalah dengan teruk.
Hasni adalah Ahli Parlimen Pontian dari 2004 hingga 2008. Kemudian beliau dipilih sebagai ADUN Benut dari 2008 hingga 2018 dan memegang jawatan sebagai menteri negeri.

