PRU14 | BN Kedah menghormati kehendak rakyat negeri itu yang mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 semalam.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata BN juga akan terus menghormati sistem demokrasi negara ini.

“BN Kedah menerima dan menghormati keputusan yang diambil rakyat dalam PRU semalam.

“Bagi kami, sistem demokrasi dan perlembagaan negara ini perlu terus dijunjung bagi memastikan keharmonian dan kemakmuran tanah air terus terjaga,” katamnya.

Ahmad Bashah melalui kenyataannya hari ini juga berkata sepanjang diberi mandat mentadbir Kedah, BN menjalankan amanah yang diberi dengan sepenuh hati bagi memastikan kebajikan rakyat dan kemajuan negeri jelapang padi tersebut terlaksana.

Keputusan PRU ke-14 yang baru diumumkan malam tadi menyaksikan Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Ahmad Bashah sendiri kalah di kerusi DUN Suka Menanti.

Pada PRU ke-13 BN berjaya merampas semula Kedah daripada Pakatan Rakyat (ketika itu) apabila memenangi 21 kerusi berbanding lawannya 15 kerusi.

Bagaimanapun ketika itu kempen BN digerakkan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kini Mukhriz adalah salah seorang pemimpin kanan HARAPAN.