Kejayaan PAS mempertahankan Kelantan dengan prestasi lebih baik berbanding pilihan raya umum (PRU) lalu merupakan satu isyarat bahawa rakyat negeri ini menolak pendekatan politik dibawa gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) .

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yakob menegaskan pihaknya sudah menjangkakan gabungan tersebut tidak mampu menggugat PAS di Kelantan.

Katanya, ini terbukti apabila PAS berjaya menambah kerusi dan majoriti sebaliknya calon HARAPAN gagal memenangi sebarang kerusi dewan undangan negeri (DUN) atau parlimen di negeri ini.

"Pakatan Harapan gagal mendapat sebarang kerusi sebab pendekatan mereka tidak sesuai di Kelantan, berbanding di pantai barat,” katanya dalam sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang berlangsung semalam PAS memenangi 37 kerusi DUN dan baki lapan kerusi lagi menjadi milik BN.

Sementara itu keputusan peringkat parlimen menyaksikan PAS menang sembilan daripada 14 kerusi manakala BN berjaya di lima kerusi.

Keputusan itu juga mempamerkan peningkatan sokongan PAS berbanding pilihan raya umum lalu dengan rekod 32 kerusi DUN dan sembilan parlimen.

Sementara itu Ahmad yang juga menteri besar Kelantan berkata, antara faktor kemenangan besar mereka hasil sokongan pengundi muda dan semangat mahu mempertahankan kerajaan sedia ada oleh pengundi luar.

"Kita sangat menghargai sokongan mereka dan berterima kasih kepada seluruh jentera serta petugas yang membantu PAS menang," katanya.

Menurutnya jumlah kerusi yang mendapat majoriti melebihi 5,000 undi adalah sebanyak enam kerusi, 2,500 hingga 5,000 undi (13 kerusi), 1,000 hingga 2,000 undi (12 kerusi) manakala majoriti kurang 1,000 undi (enam kerusi).

"Ini menggambarkan sokongan rakyat bertambah," jelasnya.

Tambah anggota ADUN Pasir Pekan itu, beliau akan mengumumkan barisan exco kerajaan negeri selepas senarainya diperkenankan Pemangku Raja Kelantan dalam masa terdekat.