PRU14 | Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden GERAKAN Mah Siew Keong menerima keputusan rakyat semalam dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Liow, yang kalah di kerusi parlimen Bentong, menggesa anggota MCA bersatu dan berdepan cabaran bersama-sama.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebuah mesyuarat jawatankuasa pusat akan diadakan esok bagi mengkaji semula keputusan PRU ke-14 dan kesannya selain mendraf rancangan masa depan untuk MCA.

Timbalan presiden MCA Wee Ka Siong merupakan satu-satunya calon MCA yang menang apabila berjaya mempertahankan parlimen Ayer Hitam.

Presiden GERAKAN Mah Siew Keong yang gagal mempertahankan kerusi parlimen Teluk Intan menyatakan sentimen serupa.

"Meskipun kecewa, kami mahu berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang membantu dan menyokong kami sejak beberapa tahun lalu dalam kempen PRU.

"Kami juga mahu menyatakan penghargaan kepada komitmen dan kerja keras anggota dan pegawai kami," katanya.

Mah yang menyifatkan keputusan PRU ke-14 sebagai bersejarah berharap negara akan kekal bersatu, aman dan terus berkembang.

"Ia akan jadi cabaran yang lebih hebat kepada GERAKAN selepas PRU ke-14, tapi kita perlu kuatkan semangat dan terus melangkah," katanya.

Mah juga menjelaskan kepimipinan GERAKAN akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan keputusan PRU dan langkah seterusnya.