PRU14 | Datuk Abdul Rahman Dahlan menggesa pembinaan semula BN selepas tumbangnya gabungan itu daripada tampuk kuasa dalam pilihan raya umum ini.

"Walaupun dengan kekalahan ini, kita perlu membina semula kekuatan parti untuk teruskan perjuangan. Marilah menjadi pembangkang yang berkesan dan memastikan Pakatan Harapan (HARAPAN) menunaikan janji 100 hari mereka," kata pengarah komunikasi strategik BN itu di Twitter.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata HARAPAN perlu diberi masa dalam soal pelantikan perdana menteri.

"Namun hal pertama (yang perlu diuruskan) perdana menteri baru mereka adalah memansuhkan GST dan menurunkan kos sara hidup. Selamat maju jaya buat mereka," katanya.

Dalam PRU ke-14, Abdul Rahman yang bertanding di Parlimen Sepanggar tewas di tangan Mohd Azis Jamman daripada Parti Warisan Sabah dengan perbezaan 12,984 undi.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur pagi tadi, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan soal pemansuhan GST.

Beliau yang bakal menjadi perdana menteri ketujuh itu berkata kerajaan akan kembali kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

PRU ke-14 yang penuh sejarah ini menyaksikan tumbangnya dua penyokong kuat Datuk Seri Najib Razak dari Sabah.

Selain Abdul Rahman, Bendahari Umno Datuk Seri Salleh Said Keruak turut tewas di Parlimen Kota Belud.

Bekas menteri Komunikasi dan Multimedia itu tewas kepada calon WARISAN Isnaraissah Munirah Majilis dengan perbezaan 4,262 undi.