PRU14 | Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad kerena berjaya memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 semalam.

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau menjelaskan meskipun terkejut dan berduka cita dengan keputusan itu, MIC perlu menerima kehendak rakyat.

"Rakyat Malaysia sudah bersuara dan mandat yang diberikan kepada HARAPAN mesti dihormati," katanya.

Menurutnya, memandangkan rakyat meletakkan keprcayaan kepada HARAPAN untuk memimpin negara, rakyat menggesa agar HARAPAN menunaikan janji-janji dalam manifestonya.

Bagaimanapun, kata pemimpin MIC itu, satu-satunya permintaan beliau adalah agar pemimpin HARAPAN memulihkan negara yang terpecah-belah kerana politik kepartian.

"Saya mengaku saya juga terlibat dalam hal ini. Sebagai ahli BN, sudah jadi tanggungjawab saya mempertahankan BN dan pemimpinnya. Itu lumrah politik.

"Bagaimanapun, sekarang adalah masa untuk menyatukan rakyat Malaysia. Semua pihak perlu sudi membantu dalam menjayakan perkara ini jika diperlukan," katanya.

Presiden MIC Dr S Subramaniam dan timbalannya SK Devamany masing-masing kalah di parlimen Segamat dan Sungai Siput.

Bagaimanapun, bekas naib presiden MIC M Saravanan dan Ketua Pemuda MIC C Sivarajjh masing-masing berjaya memenangi Tapah dan Camerong Highlands.

Ketiga-tiga parti komponen parti itu menyaksikan kekalahan presiden mereka kalah di semenanjung dalam pilihan raya yang bersejarah.

Selain Subramaniam, turut kalah dalam PRU semalam adalah Presiden MCA Liow Tiong Lai (Bentong), Presiden Gerakan Mah Siew Keong (Teluk Intan) dan Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian (Stampin).

[Baca berita penuh]