Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Chin Tong: Saya kekal jadi strategis belakang tabir HARAPAN

Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong akan terus fokus kepada peranannya sebagai strategis di belakang tabir untuk Pakatan Harapan (HARAPAN), selepas tewas pada pilihan raya umum.

Menyandang kerusi parlimen Kluang, beliau berhijrah ke Ayer Hitam untuk bersemuka dengan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong pada PRU ke-14, tetapi kalah tipis dengan perbezaan 303 undi.

Bercakap dengan Malaysiakini tentang kekalahan itu, beliau berkata langkah bertanding di kubu kuat MCA itu sememangnya risiko terancang.

"Saya ke kerusi ini dengan penuh sedar, saya tahu keputusannya sama ada Wee kalah tipis atau saya yang kalah tipis.

"Saya sudah menjadi anggota parlimen selama 10 tahun, saya tidak mahu kekal di kerusi selamat dan biarkan Datuk Seri Najib Abdul Razak kekal berkuasa," katanya.

Justeru, katanya lagi, beliau mengambil langkah berani itu dan berharap ia akan mencetuskan gelombang positif di kerusi lain di negeri Johor.

"Saya rasa telah (berjaya) melakukannya," katanya yang ditemui selepas sidang media Tun Dr Mahathir Mohamad pagi tadi.

Sekian lama dianggap kubu kuat Umno, Johor akhirnya ditawan HARAPAN apabila berjaya menang di 36 kerusi DUN berbanding BN (19) dan PAS (satu) pada PRU kali ini.

HARAPAN juga menang 18 kerusi Parlimen berbanding BN dengan lapan kerusi.

Sejak dari awal, HARAPAN menyatakan Johor merupakan antara negeri utama mereka bagi PRU ke-14.

Liew berkata kekalahannya hanyalah kos yang kecil apabila HARAPAN akhirnya menewaskan BN di peringkat persekutuan.

"Ini adalah kerajaan baru dan banyak yang perlu dilakukan.

"Saya sentiasa menjadi strategis dan orang di belakang tabir, maka ini juga akan menjadi peranan saya nanti," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS