Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jeffrey: Pemimpin BN Sabah akan keluar parti
Diterbitkan:  May 10, 2018 9:28 PM
Dikemaskini: May 11, 2018 6:12 AM

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan mendakwa pemimpin BN Sabah akan meninggalkan parti mereka dan bergabung bersama STAR sebagai Gabungan Sabah.

Ini kerana, katanya yang dipetik melalui Facebook hari ini, era Umno/BN sudah berakhir.

Terdahulu, Jeffrey dilaporkan akan bekerjasama dengan BN di Sabah.

Beliau bagamanapun kemudian tampil memberi jaminan tidak akan menyertai BN.

"Saya telah berbincang dengan Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman, untuk mencari penyelesaian politik yang terbaik untuk kebaikan rakyat Sabah.

"Dan persetujuannya ialah Gabungan Sabah dan semua calon-calon DUN BN yang menang akan membentuk gabungan parti-parti tempatan (Sabah) yang baru tanpa Umno," katanya.

Penyusunan itu, katanya, adalah yang terbaik untuk menyelesaikan kebuntuan politik yang sedang berlaku dan dapat memastikan Sabah menjadi negeri yang benar-benar bebas dari kawalan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Jeffrey juga mendakwa PKR menawarkannya jawatan timbalan perdana menteri sekiranya STAR memberikan dua dewan undangan negeri yang dimenanginya kepada WARISAN untuk membentuk kerajaan negeri.

"Tetapi saya menolaknya kerana keputusan itu bermakna kita akan menyerahkan hak dan kedaulatan negara kita ke Kuala Lumpur sekali lagi dan pelaksanaan hak Sabah termasuk IC Sabah, pengembalian pemilikan dan hak pendapatan 40 peratus minyak dan gas.

"Malahan kedudukan kita akan jauh lebih baik daripada kedudukan Sarawak.

"Mulai sekarang kita bebas merancang masa depan Sabah selaras dengan aspirasi, budaya dan semangat kita sendiri," katanya.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada beliau ditawarkan jawatan timbalan ketua menteri. Malaysiakini tidak dapat menghubungi buat masa ini untuk mendapatkan penjelasannya.

Bagi 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah, BN memenangi 29 kerusi, yang menyamai jumlah kerusi  PKR (2), DAP (6), Parti Warisan Sabah (21). Ini menjadikan STAR yang memenangi dua kerusi DUN sebagai 'kingmaker' atau penentu parti mana yang akan membentuk kerajaan.

Sekiranya STAR bergabung dengan kesemua 29 DUN yang dimenangi calon BN, mereka akan membentuk kerajaan negeri melalui majoriti mudah.

Lihat Komen
ADS