ULASAN | Alhamdulillah, akhirnya Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan, sekali gus mencatat sejarah besar dalam negara ini.

Ia adalah detik peralihan kuasa kali pertama daripada regim yang lebih 60 berkuasa kepada pakatan yang masih muda. Dan semuanya berlaku secara aman.

Sementara detik itu berlaku ada banyak keresahan cuba diungkit-ungkitkan bagi menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Antaranya isu hak dan kepentingan Islam dan Melayu terancam di bawah HARAPAN.

Berdasarkan keputusan pilihan raya umum (PRU) di peringkat parlimen, nisbah jumlah anggota Dewan Rakyat yang Melayu/Islam dengan bukan Melayu/Islam ialah 58:66.

Secara kasar julat sebanyak 12 kerusi dilihat seolah-olah angka yang sangat kritikal dan menakutkan.

Memang jika difikirkan secara matematik semata-mata, angka itu boleh ditafsirkan bermacam-macam. Anggota parlimen berbangsa Melayu/Islam kini ramai berada dalam kotak pembangkang.

Mereka pastinya menjadi pasukan semak dan imbang yang proaktif. Barisan pembangkang baru tentunya akan lebih berperanan walaupun ia adalah pengalaman pertama mereka sejak parti itu ditubuhkan.

Bangsa kekal miskin

Pembangkang baru ini tidak akan membiarkan isu-isu pokok dalam negara terancam. Pembangkang baru itu juga perlu belajar menjadi pembangkang yang progresif dan kritis, bukan semberono.

Tetapi sangat penting untuk memahami bahawa jiwa Melayu dalam HARAPAN tidak boleh dilihat dalam kerangka Umno.

Kerangka yang ada kini sudah dirosakkan oleh anasir yang sekadar bertopengkan Melayu tetapi pada masa sama melacurkan nilai-nilai mulia bangsa ini.

Umno menjadikan Melayu sebagai modal untuk kaya dan berkuasa sedangkan secara umum, bangsa Melayu kekal miskin dan hidup bergantung harap pada orang lain.

Naratif yang bernuansa kaum sudah tidak relevan sekarang. Parti dan isu politik perkauman sudah ditolak. Inilah manifestasi daripada prestasi parti yang berasaskan kaum dalam PRU ke-14 pada 9 Mei itu.

Mana-mana parti dalam HARAPAN yang gagal membentuk citra nasional juga akan ditolak. Mengulangi ratib Melayu tidak berpenghujung adalah projek pembodohan bangsa.

Jiwa Melayu dalam HARAPAN memenuhi falsafah terbina negara sejak merdeka. Asas pembinaan kerajaan Malaysia selepas PRU ke-14 di bawah HARAPAN ialah kedaulatan raja.

Konsep kerajaan tidak terpisah dengan konsep raja itu sendiri. Justeru itulah perkataan "kerajaan" sebenarnya terbentuk daripada kata dasar "raja".

Tidak seperti Umno

Tiada istilah lain bagi menggantikan istilah yang berkaitan kerajaan dalam bahasa Melayu.

Bangsa Melayu tidak ditakrif sebagai etnik ataupun kaum seperti difahami umum. Pemahaman tentang pendefinisian Melayu sekarang lebih cenderung kepada memaknakannya dari sudut etnik semata-mata, walhal jika dirujuk dari segi perlembagaan sendiri, Melayu lebih kepada soal kebudayaan.

Melayu adalah nation state. Istilah Malaysia yang diguna pakai pada hari ini adalah evolusi Melayu sebagai sifat nation. Pembentukan makna Malaysia tidak sekadar daripada perkiraan politik persekutuan 1963 tetapi lebih berasaskan budaya masyarakat yang menghuni.

Oleh itu, perlu memahami pengertian tentang "jiwa Melayu" sebelum bersikap prejudis, sinis atau pun gusar kepada politik baru HARAPAN.

Mencari makna "jiwa Melayu" akan tersasar jika merujuk sumber bacaan dari kesusasteraan regim yang sedang berkuasa kini.

"Jiwa Melayu" bukan bersifat hegemoni atau ketuanan seperti yang diamalkan oleh Umno pada hari ini.

HARAPAN termasuk pimpinannya harus berani menolak beberapa idea dari buku Malay Dilemma dan Revolusi Mental yang lebih bernuansa maddiah.

Ini tidak bererti menolak kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini soal wacana intelektual.

Mengutip hikmah pimpinan Melayu Raya dalam era kemerdekaan, makna jiwa Melayu banyak dinukilkan secara meluas dan mendalam.

HARAPAN akan menjadi pemulihara konsep jiwa Melayu dalam kerajaan baru. Melayu yang melindungi hak dan kebebasan kaum lain berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

HARAPAN secara kolektif mengambil tanggungjawab sebagai penjaga konsep "jiwa Melayu" sebagai alternatif konsep ketuanan Melayu metos Umno.

HARAPAN membawa konsep "jiwa Melayu" tanpa perlu bersifat terlalu apologetik.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis buku Aku Melayu Di Kota Inggeris terbitan Kemilau Publika pada 2012.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.