Setiausaha politik Hadi menteri besar baru Terengganu
PRU14 | Desas-desus mengenai siapa menteri besar baru Terengganu terjawab apabila Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diangkat ke jawatan itu secara rasmi sebentar tadi.
Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan berlangsung di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Terengganu, kira-kira jam 9 malam.
Ahmad Samsuri menyertai pilihan raya kali pertama semalam sebagai calon PAS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pada PRU ke-14 yang berlangsung semalam.
Pakar penerbangan dan aeroangkasa serta bekas pensyarah itu diangkat sebagai menteri besar baru Terengganu selepas memenangi DUN berkenaan dengan mengalahkan dua calon lain, iaitu Nik Dr Nik Wan Ku dari BN dan Zarawi Sulong (HARAPAN).
Ahmad Samsuri mengatasi lawannya dengan majoriti 6,028 undi berbanding 25,999 pengundi berdaftar di kawasan berkenaan.
Sebelum ini Ahmad Samsuri merupakan Setiausaha Politik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak 2008 selain diberi kepercayaan menjadi Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.
Ahmad Samsuri pernah berkhidmat sebagai pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM).

PAS berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menguasai DUN Terengganu dengan memenangi sekurang-kurangnya 21 daripada 32 keseluruhan kerusi.
Sebelum ini PAS pernah mentadbir Terengganu dengan Abdul Hadi menjadi menteri besar pada 1999.
Bagaimanapun PAS diketepikan rakyat Terengganu lima tahun kemudian.
Turut mengangkat sumpah malam ini ialah 10 wakil rakyat PAS yang dilantik sebagai exco kerajaan negeri.
Mereka ialah Satiful Bahari Mamat, Dr Alias Razak, Tengku Hassan Tengku Omar, Mohd Nor Hamzah, Dr Azman Ibrahim, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, Arifin Deraman, Hanafiah Mat, Wan Sukairi Wan Abdullah, Mamad Puteh, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
Hadir sama menyaksikan majlis pelantikan itu adalah bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

