Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dr M berhak diberi penghormatan sebagai PM'
Diterbitkan:  May 11, 2018 5:47 AM
Dikemaskini: 10:16 PM

Tun Dr Mahathir Mohamad wajar menerima penghormatan tertinggi daripada rakyat pelbagai lapisan masyarakat di negara ini apabila dilantik semula sebagai perdana menteri ketujuh.

Seorang pemimpin terkenal masyarakat Bidayuh, Datuk Peter Minos berkata kemenangan Dr Mahathir dalam memimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) membentuk kerajaan baharu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semalam tidak boleh dipertikaikan kerana ia adalah pilihan rakyat menerusi kotak undi.

"Kita adalah negara demokrasi dan kita berpegang dan mematuhi prinsip-prinsip demokrasi. Jadi rakyat sudah bersuara dan kita mesti mendengar dan menerima kehendak rakyat,” katanya kepada Bernama.

“Ia begitu mudah dan jelas seperti itu,” kata pengerusi Majlis Perbandaran Samarahan atau lebih dikenali Walikota, itu, sambil menambah bahawa ini tidak boleh dipersoalkan dalam negara yang bebas dan mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia.

Justeru, apabila perdana menteri baharu mengangkat sumpah dan kerajaan baharu ditubuhkan selepas itu, rakyat perlu memberi penghormatan sepenuhnya kepada keputusan dan tindakan diambil dalam sistem demokrasi, katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Dr Nadrawina Isnin berkata beliau yakin pada usia 92 tahun, Dr Mahathir lebih bersedia untuk berkhidmat serta sudah mempunyai perancangan untuk negara ini.

"Memang beliau sudah berusia tetapi apabila rakyat Malaysia memutuskan untuk memilih Pakatan Hara[am... itu jelas tanda sokongan penuh kepada pakatan itu termasuk pengundi generasi muda,” katanya,

Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara malam tadi.

Pada PRU14 kelmarinemalam, PH memenangi 135 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS