Mubarak yakin kepimpinan Dr M sebagai PM ketujuh
Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) enyatakan keyakinan terhadap kemampuan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh negara dalam memimpin kerajaan Pakatan Harapan.
Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata pengalaman memimpin negara selama 22 tahun merupakan aset bernilai yang dimiliki bekas perdana menteri keempat negara itu.
“Saya tidak teragak-agak mengatakan Tun Dr Mahathir dapat memimpin negara berdasarkan pengalaman beliau sebagai perdana menteri selama 22 tahun, di tambah pula dengan kejayaan beliau memimpin gabungan Pakatan Harapan dan menang menentang Barisan Nasional,” katanya.
Bercakap kepada Bernama, Abdul Aziz berkata semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Dr Mahathir menjadi perdana menteri Malaysia sekali lagi.
Beliau turut menegaskan apa yang penting bagi pemerintahan HARAPAN selepas ini adalah untuk memenuhi janji-janji dinyatakan dalam manifesto, terutamanya untuk dilaksana dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.
Beliau turut berpendapat kemenangan HARAPAN adalah satu bentuk manifestasi sebenar proses demokrasi di Malaysia yang unik dengan elemen kepelbagaian kaum, agama dan budaya.
Menyentuh tentang kekalahan Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz berkata ia hanyalah satu proses biasa dalam perjalanan demokrasi.
“Ini kitaran perubahan politik. Memang di mana-mana pemerintahan pun selepas berkuasa selama 50 ke 60 tahun kalau tiada satu ‘gegaran’ besar atau satu ‘kebangkitan semula’, parti yang memerintah pasti akan diuji dengan proses pertukaran. Proses ini berlaku kerana perjalanan politik semakin matang di sesuatu negara.
“BN tidak sepatutnya terlalu sedih atas kekalahan ini. Ia tanda tuntutan perubahan dalaman kepada BN itu sendiri selari dengan keadaan semasa,” katanya.
- Bernama

