Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kekalahan BN di negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana diketepikan oleh pengundi muda.

Kata Ahmad Razif yang juga pengerusi BN Terengganu, peranan yang dimainkan media pada masa kini dilihat sangat mempengaruhi minda serta menjadi panduan kepada golongan muda sekali gus berjaya menjatuhkan kerajaan BN.

“Kita tengok kekalahan kita (BN) kebanyakkanya ialah pada saluran orang muda iaitu di saluran satu.

“Kita tengok kepada saluran kedua dan ketiga kita dapati sebaliknya sedangkan mereka ini dulu juga adalah pengundi di saluran satu sebelum ini.

“Jadi, kita melihat bahawa peranan media ini sangat besar, maknanya mempengaruhi generasi baru,” katanya ketika ditemui selepas majlis istiadat mengangkat sumpah dan watikah pelantikan menteri besar baru di Istana Syarqiyyah, Terengganu, malam tadi.

Kerana itu kata Ahmad Razif BN akan membuat post-mortem mengenainya.

“Kita akan susun strategi kerana yang paling penting hari ini kita tidak mengalah dan jadikannya satu pengajaran, apa yang perlu hari ini kita akan berusaha dan bekerja dengan kuat bagi mengambil semula serta menebus kekalahan kita,” katanya.

Sementara itu mengulas peralihan kuasa BN kepada PAS pada PRU14 kali ini, beliau berkata ia perkara biasa.

Bagaimanapun, kata Ahmad Razif kemenangan PAS di Terengganu dan Pakatan Harapan (HARAPAN) di peringkat pusat adalah bukti BN telus.

“Ini perkara biasa yang dinamakan sebagai demokrasi berpelembagaan dan ini juga dapat menangkis ada unsur-unsur tidak betul dalam sistem pilihan raya kita.

"Malah di peringkat pusat sendiri kita melihat bahawa kemenangan kepada parti tertentu maknanya bahawa kita telus yang sebelum ini dikata macam-macam, ini menafikan segala-galanya,” katanya dengan menambah BN menerima kekalahannya sebagai kehendak rakyat.

Namun, apa yang paling penting beliau mahu pentadbiran baru bagi kerajaan negeri Terengganu di bawah PAS harus meneruskan agenda yang dilakukan BN sebelum ini di negeri tersebut demi kepentingan rakyat.

“Paling penting yang perlu diteruskan adalah pelancongan dan ia demi kebaikan, yang penting sekarang ini kita tidak ada unsur dendam kerana apa yang kerajaan buat sebelum ini adalah untuk kepentingan dan manfaat kepada rakyat. Jadi kita haraplah beliau dapat meneruskan serta melaksanakan apa saja yang beri kebaikan kepada negeri dan rakyat,” katanya.

PRU14 menyaksikan berlakunya gelombang hijau di Terengganu apabila PAS kembali menjadi kerajaan di negeri itu selepas dirampas BN pada 2004.

PAS berjaya menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu selepas memenangi 22 kerusi.

BN pula hanya menang di 10 kerusi, sementara Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak memenangi sebarang kerusi.