Kemenangan Tun Dr Mahathir Mohamad di kerusi Parlimen Langkawi dan pelantikannya sebagai perdana menteri ketujuh dapat memberi impak besar dalam meneruskan agenda kemajuan rakyat di Langkawi.

Setiausaha Persatuan Usahawan Bumiputera Langkawi (Usahabumi), Ahmad Phisol Ishak berkata impak daripada kemenangannya dapat dilihat dari segi peningkatan jumlah pelaburan dan pembangunan di pulau peranginan ini.

“Tun (Mahathir) sendiri yang menerajui usaha pembangunan peringkat awal Langkawi semasa beliau pertama kali menjadi perdana menteri dahulu. Saya rasa dengan menjadi perdana menteri untuk kali kedua, beliau sudah tahu apa yang hendak dilakukan seterusnya di sini,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, impak positif awal sudah berlaku selepas kejayaan Dr Mahathir menerajui Pakatan Harapan memenangi majoriti kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) iaitu pengukuhan nilai mata wang ringgit.

“Itu baru yang pertama dan dengan kreativiti yang ada pada beliau, saya yakin Langkawi mungkin akan menikmati satu atau dua benda baharu yang besar manfaatnya yang dibawa beliau,” katanya.

Sementara itu, pengusaha pelancongan A Gunasegaran berkata mandat yang diberikan rakyat kepada Dr Mahathir untuk menjadi anggota Parlimen Langkawi dan seterusnya menjadi perdana menteri ketujuh mampu menghasilkan lonjakan ekonomi yang besar di situ.

“Kalau dahulu semasa menjadi perdana menteri keempat dan biarpun tidak mewakili parlimen Langkawi, beliau telah membawa banyak perkara yang bernilai tinggi yang membawa kesan besar kepada pulau ini,” katanya.

Pengisytiharan Langkawi sebagai pulau bebas cukai dan penganjuran acara-acara bertaraf dunia adalah sebahagian daripada usahanya mempromosikan pulau ini dan Gunasegaran sering mempromosikan Dr Mahathir kepada pelancong yang datang sebagai bapa pembangunan Langkawi.

“Sekarang beliau sudah diberikan mandat sebagai anggota Parlimen Langkawi dan lebih membanggakan lagi menjadi perdana menteri ketujuh, sudah tentulah kita yakin beliau dapat mencipta letusan ekonomi yang lebih hebat lagi di sini,” katanya.

Pengurus sebuah hotel, Zarol Nahar berkata pelantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh adalah bukti tingginya nilai harga suara rakyat dalam menentukan siapa yang mereka mahukan untuk memimpin.

“Fenomena ini satu kelainan dan baharu berlaku selepas lebih 60 tahun kita merdeka. Ini menunjukkan pihak yang dipilih untuk memerintah tidak boleh lagi mengambil ringan kuasa rakyat dan mesti sentiasa berkhidmat dengan baik jika ingin kekal,” katanya.

Beliau berkata Dr Mahathir sudah pasti akan menjadi lebih dekat lagi dengan Langkawi selepas dipilih sebagai wakil rakyat pulau ini dan rangkaian kerjanya dapat mengenal pasti keperluan rakyat di situ secara terperinci.

Beliau berharap apa-apa kesilapan dalam perancangan pembangunan yang lepas tidak berulang lagi dengan pelantikan kali kedua Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

“Selain melaksanakan pembangunan yang sesuai dan menambah kemudahan pelancongan, saya berharap keadaan semulajadi pulau ini sentiasa terjaga dan terpelihara,” katanya.

- Bernama