BN pandang remeh ketidakpuasan hati rakyat, kata presiden MIC
BN memandang remeh ketidakpuasan hati rakyat terhadap parti pemerintah itu yang menyebabkan kekalahannya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, kata Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam.
Dalam kenyataan akhbar semalam, beliau berkata akibatnya BN mendapat 79 kerusi parlimen daripada 222 kerusi yang tidak dijangka dan mengejutkan parti itu.
"Walaupun kita menyedari isu-isu negara yang tertentu menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah rakyat Malaysia, sejauh mana ketidakpuasan hati itu sesuatu yang kita benar-benar remehkan.
"Gelombang anti-BN dalam pilihan raya ini sama seperti tsunami politik 2008," katanya.
Walaupun kecewa beliau berkata adalah penting bagi mereka menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.
"Kini sudah tiba masanya bagi kita menjalankan tugas sebagai anggota pembangkang yang vokal dan kritikal," katanya.
"Dalam usaha mereka untuk Putrajaya, Pakatan Harapan telah membuat banyak janji kepada rakyat Malaysia. Masa akan menentukan jika mereka dapat memenuhi janji-janji ini.
"Rakyat Malaysia telah melabur banyak harapan dan kepercayaan kepada HARAPAN. Saya berdoa kepercayaan rakyat Malaysia kepada HARAPAN dihormati," katanya.
Beliau juga menyatakan kekecewaan kerana gagal mempertahankan kerusi parlimen Segamat yang disandangnya selama tiga penggal.
Menurut Subramaniam beliau telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat sejak tiga penggal lalu dengan sedaya upaya beliau.
"Segamat telah meyaksikan perkembangan infrastruktur besar-besaran pada masa saya sebagai anggot parlimen.
"Saya sedih kerana saya tidak akan dapat melaksanakan program pembangunan ekonomi yang saya bayangkan sebagai sebahagian daripada pelan tindakan pembangunan ekonomi Segamat," katanya.

