Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Presiden Jokowi ucap tahniah pada Dr M
Diterbitkan:  May 11, 2018 10:28 AM
Dikemaskini: 2:43 AM

Presiden Indonesia, Joko Widodo mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut presiden yang lebih mesra dengan panggilan Jokowi itu, beliau menghubungi Mahathir menerusi panggilan telefon untuk menyampaikan ucapan tahniah.

“Saya mengucapkan selamat atas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelmarin,” katanya melalui kenyataan dari Istana Presiden di Bogor.

Jokowi juga mengucapkan syukur kerana proses PRU14 di Malaysia berjalan lancar.

“Saya senang mendengar proses demokrasi berjalan lancar dan aman,” katanya.

Ketika menghubungi Mahathir, Jokowi berkata beliau meyakini hubungan kedua-dua negara akan bertambah baik.

“Sebagai negara serumpun saya percaya di bawah kepemimpinan Bapak Mahathir, hubungan antara kedua bangsa kita akan terus meningkat.

"Dan saya mendoakan Bapak Mahathir terus diberikan kesihatan untuk menjalankan amanah rakyat Malaysia ini,” katanya.

Mahathir secara rasmik dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V semalam.

Majlis diadakan di Istana Negara pada kira-kira jam 9.50 malam.

Ia merupakan kali kedua Mahathir dilantik ke jawatan itu.

Beliau sebelum ini merupakan perdana menteri Malaysia ke empat dan memegang jawatan itu dari tahun 1981 sehingga 2003.

 

Lihat Komen
ADS