Mantan menteri besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah jam 11 pagi, tadi.

Beliau hadir bersama isterinya Datin Seri Hizam Awang Ahmad dengan menaiki Proton Perdana berwarna hitam.

Kedua-dua mereka juga kelihatan meninggalkan Istana Nur Iman, Taman Lumba Kuda, Alor Setar jam 12.03 tengah hari tadi.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tujuan Bashah mengadap Sultan Sallehuddin.

Majlis pelantikan dan angkat sumpah menteri besar Kedah yang ke-13 di Istana Anak Bukit, di Alor Setar, akan berlangsung petang ini selepas mendapat perkenan Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Perkara itu dimaklumkan melalui satu kenyataan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Elmi Yusoff, sebentar tadi.

"Majlis terbabit akan diadakan di Istana Anak Bukit, di sini, jam 3 petang," katanya.

Keputusan PRU14 yang diumumkan Rabu lalu menyaksikan HARAPAN memenangi 18 kerusi DUN daripada 36 yang dipertandingkan.

Hingga kini, calon menteri besar Kedah masih menjadi teka-teki apabila HARAPAN belum memaklumkan individu bakal mengisi jawatan itu, walaupun nama Datuk Seri Mukhriz Mahathir disebut-sebut sebagai calon menteri besar yang baru.

Pada PRU14, Bashah yang juga pengerusi BN juga gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti yang dimenangi sejak lima penggal lalu.

Calon PKR, Zamri Yusof berjaya memenangi kerusi DUN berkenaan selepas mendahului calon BN dan PAS dengan majoriti 6,251.