Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa beliau didekati wakil BN dan ditawarkan dengan pelbagai kedudukan dalam usaha memujuknya menyokong mereka.

Kata bekas menteri kanan itu beliau dipujuk dengan tawaran jawatan supaya menyertai BN dan membentuk kerajaan negeri.

"Pihak sebelah sana cuba menarik saya dengan pelbagai benda, jawatan, tapi mengapa saya perlukan semua kedudukan tu?

"Saya sudah cakap sebelum ini, sekali saya sudah buat keputusan, saya akan pertahankan keputusan tersebut," katanya kepada media hari ini.

Mohd Shafie ditemui di rumah beliau di Semporna malam tadi.

Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) berdepan kebuntuan selepas pilihan raya umum dijalankan pada 9 Mei lalu apabila BN dan WARISAN masing-masing memperoleh 29 kerusi.

Bagaimanapun Parti Solidariti Tanah Air (Star) yang dipimpin bekas menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan memiliki tiga kerusi memilih untuk bersama BN.

Utamakan khidmat di Sabah

Ekoran keputusan Star tersebut Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman berjaya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri untuk kali kelima malam tadi.

Majlis itu diadakan di depan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Untuk rekod hari ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan tidak akan mengiktiraf keputusan PRU di Sabah jika ada unsur rasuah terlibat.

Katanya siasatan akan dijalankan bagi mengetahui keadaan sebenar di negeri berkenaan.

Antara maklumat yang diterima, kata Dr Mahathir, ialah ada anggota dewan yang dijanjikan dengan sesuatu habuan untuk membolehkan mereka memberi sokongan kepada pihak tertentu.

Mohd Shafie berkata sebelum ini beliau sudah membuat keputusan untuk berkhidmat kepada rakyat walau apa pun cabaran yang mendatang.

Sementara itu ketika ditemui media hari ini Mohd Shafie berkata keutamaan beliau ketika ini ialah Sabah.


Baca Keputusan PRU Sabah tak diiktiraf jika ada unsur rasuah


Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada sedia menerima tawaran jawatan menteri oleh Putrajaya.

"Ia (jawatan menteri pusat) bukan keutamaan saya," katanya.

Untuk rekod kedudukan sebagai menteri bukan asing kepada beliau.

Sebelum ini Mohd Shafie ialah naib presiden Umno dan dilantik mengetuai Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah.

WARISAN bukan sebahagian daripada parti komponen dalam Pakatan Harapan namun mereka mempunyai persefahaman politik.

Lihat Komen
ADS