Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari hari ini mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka ke-11.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Utama, Seri Negeri, Ayer Keroh pada 3.50 petang.
Adly, 47, yang juga pengerusi Pakatan Harapan Melaka dan pengerusi AMANAH Melaka turut melafazkan sumpah jawatan dan taat setia serta kerahsiaan yang perlu beliau patuhi dalam tempoh memegang jawatan ketua menteri.
Turut hadir, anggota Parlimen Hang Tuah Jaya yang juga Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin, Anggota Parlimen Alor Gajah yang juga Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Mohd Redzuan Yusof, Anggota Parlimen Kota Melaka yang juga Setiausaha DAP Melaka Khoo Poay Tiong dan Anggota Parlimen Tangga Batu Dr Rusnah Aluai.
Hadir sama dalam upacara istiadat berkenaan ADUN Bandar Hilir yang juga pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew, ADUN Paya Rumput yang juga Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Mohd Rafiq Naizamohideen, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan bekas Ketua Menteri Melaka iaitu Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Idris Haron.
Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka melalui majoriti mudah apabila menakluk 15 kerusi DUN Melaka daripada keseluruhan 28 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.
Pakatan Harapan turut memenangi empat daripada enam kerusi Parlimen iaitu Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka.
Pada PRU14, Adly mengalahkan calon BN Yunus Hitam dan calon PAS Muhamat Puhat Bedol dengan majoriti 3,159 undi dalam pertembungan tiga penjuru di kerusi Bukit Katil.
Adly, 47, yang juga pengerusi Pakatan Harapan Melaka dan pengerusi AMANAH Melaka merupakan anak kelahiran Kampung Pulau Durian Tunggal Alor Gajah.
Beliau telah berkahwin dengan Dalilah Awaludin, 48, dan mempunyai dua anak lelaki dan lima anak perempuan.
Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah belajar di Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu.
Aktif berpidato di peringkat sekolah dan universiti serta beberapa kali menjadi johan pidato selain merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UTM pada 1992.
Adly sebelum ini merupakan seorang ahli korporat dan pernah dilantik sebagai Eksekutif di Malaysia International Shipping Corporation (2000-2005) dan pernah bekerja sebagai jurutera di Universiti Multimedia (1997-2000).
Antara jawatan lain dalam politik yang masih dipegang sehingga kini termasuk Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara, Timbalan Pengerusi Biro Ekonomi Nasional Parti Amanah Negara serta Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan selain pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Melaka (2011-2015).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), Adly mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Yunus Hitam dan calon PAS Muhamat Puhat Bedol dengan majoriti 3,159 undi dalam pertembungan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Katil.
- Bernama
