Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berharap dapat berjumpa dengan rakan sejawatannya yang baharu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad "dalam masa terdekat".

Dalam catatan terbarunya di Facebook, Lee berkata beliau telah menelefon Dr Mahathir pagi ini untuk mengucapkan tahniah kepadanya atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia.

"Beliau sibuk mengadakan perjumpaan untuk pelantikan Kabinetnya! Saya mengucapkan yang terbaik kepada beliau dan kerajaannya dan berhadap dapat berjumpa beliau secara peribadi dalam masa terdekat sama ada di KL atau di Singapura,” kata Lee dan mengakhiri catatannya dengan singkatan LHL.

Catatan beliau dilampirkan dengan gambar beliau bersama Dr Mahathir pada Rumah Terbuka Hari Raya di Johor Bahru pada Disember 2001, kira-kira 17 tahun lalu.

Pakatan Harapan yang diketuai Dr Mahathir memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, Rabu lepas.

Beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-7 keesokannya.

Daripada catatan itu, rakyat Singapura turut berkongsi sentimen kemesraan sambil berharap hubungan lebih erat terjalin dengan rakyat Malaysia.

"Amat berharap akan wujud lebih banyak inisiatif yang lebih baik antara kedua-dua negara pada masa hadapan," komen Taury Chen terhadap catatan Lee itu.

Lim Kay Hwan, seorang lagi pengikut Facebook Lee, memberikan komen terhadap gambar yang dikongsikan perdana menteri itu,

"Sekeping gambar sejarah yang baik 20 tahun lalu... untuk mengingatkan mereka berdua tentang pertemuan persahabatan mereka.

"Melangkah ke depan, diharapkan mereka meneruskan usaha untuk kebaikan kedua-dua negara yang hanya terpisah oleh geografi,” ulas Lim.

- Bernama

Lihat Komen
ADS