Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MBAM harap komunikasi lebih baik dengan k'jaan baru
Diterbitkan:  May 11, 2018 7:13 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Master Builders Association Malaysia (MBAM) berharap komunikasi dua hala yang lebih baik antara syarikat pembinaan dan kerajaan baharu untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh peserta industri, terutamanya kontraktor bersaiz kecil.

Presidennya, Foo Chek Lee, berkata persatuan itu akan mengemukakan senarai isu, termasuk keperluan bayaran levi, untuk penelitian kerajaan, bagi membantu kontraktor tersebut mempunyai aliran tunai yang lebih baik.

“Kami ingin mencadangkan kepada kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengkaji semula bayaran levi itu.

“Kami berharap kelonggaran dapat diberikan dalam bentuk enam bulan atau pembayaran setengah tahun kepada kontraktor berikutan pada masa ini mereka perlu membayar secara sekali gus,” katanya kepada pemberita selepas MBAM Affiliate Dialogue 2018 di sini hari ini.

Foo berkata terdapat juga isu dari segi mengesahkan pekerja asing berikutan proses untuk mendapatkan permit kerja agak rumit.

“Ia perlu dipermudahkan dan tempoh pemprosesan perlu dipendekkan supaya semua pendatang tanpa izin di negara ini dapat disahkan dengan cepat.

“Langkah ini baik kepada kerajaan dan juga untuk keselamatan negara,” katanya.

Mengenai pelaburan oleh syarikat asing, MBAM amat menyokong projek-projek seperti inisiatif ‘The One Belt Road’, tetapi menekankan kerajaan perlu memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada sumber diberikan kepada syarikat tempatan.

“Apa yang dikatakan dan apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Misalnya, kerja yang sepatutnya diberikan kepada syarikat tempatan, oleh syarikat asing yang mendapat kontrak di Malaysia, diberikan kepada syarikat lain yang diperbadankan di peringkat tempatan oleh syarikat asing.

“Akhirnya, keseluruhan kerja diserap ke syarikat yang diperbadankan di peringkat tempatan oleh syarikat asing dan syarikat Malaysia tempatan tidak mendapat apa-apa,” jelasnya.

Foo turut menggesa kerajaan mengehadkan import mesin berat berikutan ia boleh didapati dalam negara.

Katanya akan terdapat kemasukan mesin berat (asing) di negara ini, yang menjejaskan syarikat pembekal mesin tempatan.

Sementara itu, Foo mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir atas pelantikan beliau sebagai perdana menteri yang ketujuh dan menggesa pembentukan kerajaan baharu yang mesra perniagaan.

“Diharapkan perubahan ini akan membawa kepada pertumbuhan yang berterusan bagi industri pembinaan dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS