Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberikan jawatan yang setimpal dengan kedudukannya selepas mendapat pengampunan sepenuhnya, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
"Sudah tentu, kita berhasrat meletakkannya di kedudukan yang sepatutnya," katanya ketika ditanya mengenai hal berkenaan.
Bagaimanapun, Saifuddin enggan memberikan tempoh masa yang sepatutnya bagi Anwar menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri kelapan.
"Kita tidak bercakap tentang tempoh masa, mungkin setahun atau dua tahun, saya fikir kita harus menghormati Mahathir, yang baru saja mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, malam tadi.
"Saya tidak akan menyentuh perkara itu," katanya selepas melawat Anwar di Pusat Pemulihan Cheras di Kuala Lumpur petang tadi.
Pada Januari lalu, HARAPAN mengumumkan Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar bakal menggantikannya.
Bagaimanapun, pengerusi HARAPAN itu, sebelum ini berkata, beliau memerlukan tempoh dua tahun sebagai perdana menteri jika gabungan parti pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14, dan kemungkinan lebih banyak masa lagi untuk melakukan perkara-perkara tertentu.
